KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan sistem pilihan raya di Malaysia adalah telus dengan mendukung prinsip integriti yang termaktub dalam setiap demokrasi.
Najib berkata selain para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menjalankan tugas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) esok, kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada wakil calon atau parti bertanding juga bertindak sebagai ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA).
“Mereka (PACA) akan jadi mata dan telinga calon, memerhatikan setiap proses pilihan raya daripada awal hingga akhir, daripada memastikan peti undi kosong digunakan sebelum masa undi bermula, ketika pengundi mengundi hinggalah proses mengira undi.
“Mereka diberikan salinan daftar pemilih untuk mereka sahkan identiti setiap pengundi yang hadir dan setiap kertas undi akan ditunjukkan kepada mereka semasa proses pengiraan. Begitu penting peranan mereka dalam memastikan ketelusan proses pilihan raya,” katanya dalam catatan terbaharu di laman blog NajibRazak.com bertajuk ‘Ketelusan dalam Proses Pilihan Raya’.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata oleh sebab itulah parti-parti politik di negara ini dilihat rancak mencari sukarelawan bagi bertindak sebagai PACA agar kepentingan parti atau calon tersebut tidak diketepikan atau tidak wujud unsur penipuan.
“Hari Malaysia memilih sudah hampir dan saya lihat ramai yang teruja nak tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Nasihat saya kepada semua sukarelawan PACA, tak kira mewakili parti apa, jalankanlah tugas anda dengan hemah dan bertanggungjawab, anggaplah ini sebagai satu khidmat untuk negara. Selamat bertugas!” katanya.
Menurutnya, maklumat lanjut berkenaan ketelusan dalam proses pilihan raya boleh dilayari menerusi http://undinegaraku.com/ketelusan.html. – BERNAMA