NAMA Syafiq Rafiqqin Liow atau lebih mesra dengan panggilan Syafiq, hos saudara baharu atau mualaf yang semakin mengukir nama di televisyen.
Pengacara program Kembali Fitrah di stesen TV AlHijrah ini, berbangsa Cina dari keturunan Hakka. Dia kembali ke agama fitrah pada 20 Oktober 2006, kira-kira 12 tahun yang lalu.
Kisah penghijrahan dirinya dikongsikan dalam program khidmat sosial di Surau Kampung Baru, Gurun, Kedah anjuran masyarakat tempatan dengan kerjasama TV AlHijrah dalam menyantuni masyarakat.
Syafiq pernah menganuti beberapa agama lain sebelum mengenal Islam. Bagaimanapun banyak perosalannya tentang siapakah Tuhan tidak pernah terjawab.
Dia yang gagal menemui agama pada ketika itu akhirnya meninggalkan semua agama. Hidupnya tertekan akibat sibuk mencari kekayaan dan tidak pernah berasa cukup. Dia mula menjebakkan diri dalam perkara negatif.
Dia yang semakin hilang arah pada ketika itu, kemudian pernah membuat percubaan untuk membunuh diri dengan meminum cecair antiseptik.
Dia mula tersentuh dengan Islam apabila satu hari dia kebetulan ada menonton sebuah program Islamik di TV, yang mengatakan Islam adalah cara hidup.
Menurutnya lagi, “Sebelum ini tiada agama lain yang berkata begitu, jadi sejak itu saya mula mencari Islam.”
Setelah memeluk Islam, Syafiq menyambung mendapatkan pendisikan asaa Islam di sebuah sekolah pondok di Perak. Seterusnya, dia menyambung pelajaran di Pusat Bimbingan Islam (PUSBA) Sungai Petani, Kedah.
Selapas tujuh bulan, dia menyambung pelajaran dalam Program Sijil Dakwah dan Kepimpinan di Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS).
“Alhamdulillah kini saya sudah 12 tahun menjadi orang Islam. Saya masih belajar, jika diikutkan, saya ni diibaratkan seperti budak baru darjah 6,” katanya sambil berseloroh.
Syafiq malahan sanggup meninggalkan jawatan sebagai eksekutif jualan, yang menjanjikan pendapatan lumayan setiap bulan untuk mendalami Islam.
“Dulu pendapatan saya mencecah 20 ribu dalam tempoh tiga bulan termasuk komisyen, tapi tengah bulan saya dah beli roti dan simpan dalam peti sejuk sebab tak ada duit.
Tapi lepas letak jawatan dan belajar Islam, tak pernah pula saya kelaparan walaupun tidak bekerja. Syafiq tidak menolak pelbagai cabaran di hadapi ketika cuba mendekati Islam.
Antaranya, pernah dihalau dari masjid, kerana ada yang mengatakan badannya kotor konon makan makanan tidak halal, tentangan keluarga dan sogokan yang mengatakan masuk Islam perlu bertukar ke bangsa Melayu.
Syafiq menegaskan, kesedaran masyarakat perlu ada di dalam memperkenalkan Islam, jangan terlalu menghukum sebaliknya lebih kepada menyantuni mereka yang ingin mengenali Islam.
Santai bersama Bro Syafiq antara aktiviti program khidmat sosial yang dianjurkan TV AlHijrah dengan kerjasama penduduk kampung di sekitar Gurun.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti permainan tradisional bersama penduduk kampung, pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama Pusrawi dan BBQ bersama penduduk kampung diadakan.
Program Baru:
* Syafiq Liow juga bakal tampil dengan program baru terbitan TV AlHijrah berjudul Singgahan Abdi.
* Program tajaan Rayhar Travels Shd. Bhd. ini menampilan perjalanan Syafiq ke tanah suci Baitullah.
* Bakal menemui peminat TV AlHijrah pada Ramadan ini bermula 16 Mei 2018, 6.30 petang, setiap Rabu. – MYNEWSHUB.CC