PASIR SALAK – Sikapnya yang sering menyantuni rakyat tanpa mengira kaum dan usia selain tegas dalam memberi teguran menyebabkan dirinya dianggap sebagai ‘bapa’ di Pasir Salak.
Setiap kali sebut nama Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, pastinya ramai tahu sikap calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pasir Salak untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu yang lantang membuat teguran apabila ada saja perkara tidak kena pada pandangannya.
Menurut Roziah Mohd Samah, 52, dia berasa ‘dekat’ dengan calon BN itu kerana sering turun padang untuk mendekati rakyat tanpa ada sebarang protokol walaupun dirinya bergelar timbalan menteri.
Peniaga makanan sejak 15 tahun lalu itu berkata satu lagi perkara membuktikan Tajuddin adalah wakil rakyat yang mudah didekati berikutan kediaman beliau di sini tidak berpagar bagi memudahkan orang ramai datang.
“Keprihatinan dan kemesraan yang dipamerkan calon BN itu sejak dahulu lagi tidak dapat dinafikan dan ia memberi keselesaan kepada penduduk kampung untuk berurusan terutama melibatkan hal kebajikan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Zul Nan, 47, berkata hubungan baik antara Tajuddin dengan rakyat di Parlimen Pasir Salak sejak dahulu lagi dan pembangunan yang dibawanya sejak tahun 2008, bakal memberi kemenangan kepada BN dengan majoriti lebih besar pada PRU14 nanti.
Zul yang juga seorang petani berkata dia dan rakan-rakan yang mengusahakan sawah padi di DUN Sungai Manik sangat menghormati Tajuddin sebagai seorang bapa yang prihatin terhadap nasib golongan petani di kawasan Parlimen berkenaan.
“Datuk Seri Tajuddin kami sifatkan sebagai seorang bapa yang garang tetapi tegurannya memang betul untuk petani-petani lebih berusaha dan bermotivasi agar meraih pendapatan lebih tinggi,” katanya yang mempunyai 2.02 hektar sawah.
Bagi guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Nor Asiah Mohd Isa, 47, pembangunan di sekitar Parlimen Pasir Salak amat ketara berbanding 10 tahun lalu dan percaya usaha tersebut adalah hasil usaha BN yang tidak mahu masyarakat luar bandar ketinggalan.
“Saya memang tidak nampak calon daripada parti lain yang sesuai untuk membangunkan kawasan ini dan saya yakin masyarakat di sekitar kawasan ini seperti saya juga mahu BN mengekalkan momentum pentadbiran mereka di sini,” katanya.
Pada PRU14, Tajuddin akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak buat penggal kedua dan berdepan cabaran tiga penjuru melibatkan calon PAS, Zafarul Azhan Zan daripada PAS dan Salihuddin Radin Sumadi daripada PKR-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Pasir Salak mempunyai dua Dewan Undangan Negeri iaitu Sungai Manik dan Kampong Gajah dengan jumlah keseluruhan pengundi seramai 54,671 orang. – BERNAMA