PEKAN – “Tak pernah mimpi dapat rumah selesa sebegini, apa lagi mimpi pemimpin negara menjejak kaki ke rumah mak cik,” kata warga emas Wan Lijah Wan Ahmad yang menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Kunjungan Najib ke rumah Wan Lijah, 80, yang terletak di Kampung Marhum, Kuala Pahang di sini, adalah bagi melihat sendiri perubahan rumah wanita itu yang dilaksanakan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi program ‘Facelift D’Kuala Pahang’ melibatkan 61 buah rumah di Kuala Pahang.
Mengingatkan kembali keadaan rumahnya sebelum menjalani proses ubah suai, Wan Lijah berkata rumah pusaka peninggalan suaminya Abdullah Embong itu bukan sahaja tidak mempunyai bekalan air dan elektrik malah tidak mempunyai bilik air.
“Sebelum ini ada sebuah bilik air, tapi selepas suami meninggal dunia kami tidak mampu untuk membayar bil air dan elektrik menyebabkan bekalan itu dipotong sejak tiga tahun lalu.
“Selepas lama tidak digunakan, bilik air itu reput. Jadi saya dan enam lagi penghuni terdiri daripada anak, menantu dan cucu menumpang tandas di rumah dua lagi anak yang terletak bersebelahan,” katanya kepada Bernama di rumahnya di sini hari ini.
Wan Lijah berkata suaminya yang bekerja sebagai pembuat perahu meninggal dunia pada tahun 1999 akibat lelah.
Sejak bekalan air dipotong, mereka menggunakan telaga untuk mandi manakala untuk memasak, air diambil dari rumah anak yang turut membenarkan mereka menyambung bekalan elektrik ke rumahnya, katanya.
“Kita tak nak menyusahkan anak kerana sedar mereka juga susah… bekerja kampung dan ada tanggungan sendiri. Asalkan boleh berteduh, cukup makan sudah cukup untuk mak cik walaupun ada harinya terpaksa tidur awal jika cucu menutup suis lampu awal,” katanya.
Bagaimanapun, ‘zaman bergelap dan kesukaran untuk membuang air’ sudah berakhir sejak tiga bulan lalu, apabila rumahnya terpilih untuk menjalani proses ubah suai yang secara keseluruhannya melibatkan kos RM37,000.
Selain memiliki sebuah bilik air yang sempurna, rumah Wan Lijah kini ‘lebih canggih. daripada penduduk sekitar kerana mempunyai sistem solar supaya wanita bertubuh kecil itu tidak lagi dibebani dengan bil elektrik.
UMP juga menyumbangkan perabot dan memberi pendidikan mengenai kepentingan kebersihan kepada Wan Lijah supaya rumah yang didiaminya sejak 50 tahun selepas berhijrah dari Setiu, Terengganu itu menepati konsep ‘Rumahku, Syurgaku’.
“Mak cik tak pernah harap rumah cantik macam ini. Zaman muda dah penat duduk rumah buruk tapi hujung-hujung usia ini diberikan peluang duduk rumah selesa. Ramai pula yang sudi menjenguk,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata pelaksanaan Facelift D’Kuala Pahang bertujuan untuk mengubah identiti Kuala Pahang sebagai perkampungan nelayan supaya tidak ketinggalan dalam transformasi yang dibawa universiti itu.
“Kita mahu Kuala Pahang juga menjadi perkampungan nelayan moden dan berteknologi tinggi selari dengan kewujudan universiti kami di daerah ini,” katanya. – BERNAMA