PELAKON yang hebat mestilah yang sanggup berkorban demi menjayakan lakonan mereka lebih-lebih lagi jika rezeki yang datang merupakan satu perkara yang sangat diimpikan.
Kini, pelakon hitam manis Remy Ishak sedang dalam proses untuk membesarkan tubuh badannya bagi menjayakan watak dibawa bagi filem yang bakal memulakan penggambaran pada 8 Mei ini.
“Saya dalam proses untuk besarkan badan kerana filem baru saya akan bergandingan dengan Zul Ariffin, saya terpaksa buat badan kerana badan Zul besar,” katanya dipetik daripada portal mStar Online.
Malah, Remy telah menyusun waktu makannya sehingga perlu mengambil hidangan makanan sebanyak lapan kali sehari untuk mendapatkan berat badan yang disasarkan iaitu 90 kilogram.
Dalam masa yang sama, beratnya kini yang sudah mencecah 76 kilogram itu perlu naik kepada 90 kilogram serta diturunkan kembali kepada 83 kilogram sebelum mereka memulakan penggambaran tersebut.
Disebabkan itu, pelakon yang dikenali menerusi drama Nur Kasih itu perlu makan nasi, ayam dan telur sehingga kadang-kala membuatkan dia berasa sesak nafas.
Bagaimanapun, disebabkan berat dan tubuh badan yang ‘terbaru’, jejaka berusia 36 tahun itu berasa sedikit tidak selesa dengan dirinya kini.
Bukan itu sahaja, pergerakannya juga dirasakan seperti semakin perlahan jika dibandingkan dengan berat yang asal.
“Berat badan biasa saya 71 kilogram dan sekarang saya tidak biasa lagi, saya rasa berat dan pergerakan saya perlahan.
“Setiap hari pukul 6 hingga 8 pagi saya akan ke gimnasium dan malam pula ada latihan mempertahankan diri MMA,” tambahnya lagi.
Anak jadi kelahiran Negeri Sembilan itu masih lagi dalam perancangan untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangannya yang merupakan seorang ahli perniagaan iaitu Ezza Yusof. – MYNEWSHUB/AH