JOHOR BAHRU – Rata-rata penduduk di Johor Bahru berpendapat pelbagai bantuan kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat perlu diteruskan pada masa hadapan memandangkan ia banyak membantu meringankan beban mereka.
Seorang pekerja swasta, Yuslira Mohd Sharif, 48, berpendapat bahawa bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat kini adalah keutamaan dan bakal menjadi antara faktor dalam menilai dan memilih parti yang akan mewakili kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu ini.
“Seperti yang semua tahu, kos sara hidup semakin lama semakin meningkat. Kalau dulu, RM100 boleh beli bermacam-macam barang dapur untuk sebulan tetapi sekarang RM100 untuk lebih kurang seminggu sahaja.
“Sebab itu rakyat kena pandai memilih, siapa yang banyak memberi bantuan kepada kita. Siapa yang buat Karnival Jualan Rakyat, Klinik 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Kesemua ini adalah inisiatif yang bagus dan patut diteruskan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagi Abdul Kadir Abdul, 54, isu peningkatan kos sara hidup terutama di kawasan bandar perlu diberi perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Perhatian perlu diberikan lebih kepada golongan sederhana seperti kami yang hidup di bandar besar dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Tidak dinafikan kerajaan banyak membantu golongan sederhana seperti saya.
“Seperti pemberian BR1M misalnya pada setiap tahun, ia sangat membantu terutama kepada sesetengah golongan masyarakat,” katanya.
Penuntut universiti awam, Fatin Nabila Mohd Kher, 24, sependapat dengan Abdul Kadir dan bersyukur kerana dengan adanya bantuan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dapat membantunya belajar dengan tenang tanpa memikirkan kos yang perlu dihadapi ketika pembelajaran.
Katanya, pelajar yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan bebanan ekonomi memerlukan banyak perbelanjaan untuk belajar, makan, pengangkutan dan dengan adanya PTPTN ia banyak membantu bukan sahaja pelajar tetapi ibu bapa yang membiayai pengajian.
Antara manifesto PRU14 yang diumumkan oleh Barisan Nasional di bawah kategori `Dompet Rakyat’ ialah meningkatkan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 dalam tempoh lima tahun.
Selain itu, manifesto itu juga ingin memastikan tidak ada rakyat yang terabai tanpa sebarang bantuan kerajaan walaupun bukan atas sebab kemiskinan di bawah kategori BR1M. – BERNAMA