PENGACARA dan pelakon Nabil Ahmad menegaskan bahawa dia melalui proses yang sama seperti produksi lain untuk ‘menjual’ program terbitan syarikatnya meskipun dilabel ‘anak emas’ Astro.
Memetik laporan BH Online, Nabil menjelaskan tiada istilah jalan pintas untuk mendapatkan slot rancangan secara mudah, tambahan pula dia masih terlalu muda dalam dunia penerbitan.
“Mungkin ramai menyangka saya tidak perlu bersusah payah menghadiri sesi ‘pitching’ kerana sudah mengenali orang dalam stesen TV kabel itu. Itu sekadar telahan kerana realitinya berbeza.
“Saya perlu bentangkan pengisian program yang lebih bagus dan berbeza daripada sedia ada. Sama seperti produser lain, saya juga berdebar setiap kali menunggu keputusan panel.
“Banyak juga idea yang ditolak mentah-mentah kerana tidak memenuhi piawaian, namun saya anggap semua itu cabaran sebagai penerbit,” jelas Nabil.
Katanya lagi, Nabil akui tanggungjawabnya kini lebih besar untuk memastikan syarikat produksinya iaitu Nabil Ahmad Production diterima baik selain terus mendapat kepercayaan ramai.
Sementara itu meskipun mempunyai jadual seni yang padat sepanjang bulan puasa namun Nabil tetap berusaha mengosongkan jadual untuk membolehkan dia mengerjakan umrah pada 7 Jun ini.
Katanya, perasaan rindu untuk beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan di Makkah membawanya dan isteri, Nazirah Ayub ke Tanah Suci, empat tahun berturut-turut. – MYNEWSHUB.CC