KUALA NERUS – Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan desas-desus kononnya kerajaan negeri akan menamatkan perkhidmatan kesemua 900 kakitangan lantikan politik di Terengganu ketika pentadbiran Barisan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata desas-desus itu tidak tepat kerana tidak semua yang akan ditamatkan perkhidmatan dan kerajaan negeri kini sedang meneliti secara terperinci kedudukan mereka.
Ahmad Samsuri berkata memang akan berlaku pensturukturan terhadap kakitangan di beberapa organisasi kerajaan negeri namun ia bergantung kepada beberapa kategori.
“Memang akan ada yang terlibat dengan penstrukturan ini….ada yang dipindahkan ke perkhidmatan yang lain, ada yang letak jawatan dan ada yang tamat kontrak.
“Kita ambil langkah paling cermat dalam hal ini, kita tidak naik (jadi kerajaan) dan terus tamatkan semua (lantikan politik) begitu sahaja… paling tidak pun sekarang ini, apa yang berlaku ialah tidak ada sesiapa yang diberhentikan pada bulan Ramadan ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau mengulas mengenai penyebaran maklumat di media sosial kononnya kesemua 900 kakitangan lantikan kontrak pada era pemerintahan BN Terengganu akan ditamatkan tidak lama lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim dalam satu kenyataannya berkata proses pembubaran, penggantian dan penyusunan semula mana-mana agensi kerajaan negeri yang ditubuhkan berpaksikan lantikan politik adalah amalan biasa bila sesebuah kerajaan bertukar teraju dan ia tidak perlu dipertikaikan.
Agensi yang terlibat dengan penstrukturan itu ialah Agensi Tranformasi Rakyat (ATRA), Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Tambah Samsuri, setiap kerajaan baharu pasti akan membuat penyusunan semula supaya agensi-agensi mampu menjadi penyampai misi dan visi pemerintahan kepada rakyat.
“Walaupun begitu pertimbangan kemanusiaan tetap diambil kira….kerana itulah lantikan politik kontrak, sementara dan agensi ad-hoc seperti ATRA hanya akan ditamatkan pada 30 Jun depan dengan mengambil kira persiapan Ramadan dan Aidilfitri mereka walau sebenarnya tidak ada peraturan yang menghalang untuk mereka ditamatkan lebih awal,” katanya.
“Mereka sudah tidak berfungsi sebenarnya. Inilah yang diistilahkan penggantian dan penamatan dilakukan dengan tertib termasuk diteliti syarat-syarat kontrak mereka.
Kita bukan bertindak secara sembrono malah tiada kakitangan tetap kerajaan negeri yang akan ditamatkan. Hanya kakitangan sementara, ad-hoc dan kontrak sahaja yang terlibat,” katanya. – BERNAMA