JERANTUT – Penggemar air tebu di negeri ini tidak perlu bimbang untuk membeli minuman itu di bazar Ramadan kerana tidak ada bukti setakat ini ia tercemar dengan bakteria leptospirosis atau kencing tikus.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Shaari Ngadiman berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan, peniaga air tebu kini lebih berhati-hati dan menjaga kebersihan dengan membasuh batang tebu sebelum diproses untuk mendapatkan airnya.
“Kita lihat pengusaha air tebu sekarang membasuh dan membuang kulit sebelum diproses…itulah cara terbaik untuk menyediakan air tebu, namun dalam masa yang sama pembeli juga perlu bijak memilih peniaga yang menjaga kebersihan.
“Selain itu kakitangan kita mengambil pelbagai sampel makanan termasuk air tebu dan sehingga hari ini memang tidak ada kes berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat negeri Pahang 2018 di sini petang semalam.
Sehubungan itu beliau menolak kemungkinan kekurangan bilangan peniaga air tebu di bazar Ramadan di negeri ini adalah disebabkan kebimbangan pembeli tentang jangkitan penyakit berkenaan, namun sebaliknya lebih kepada faktor kekurangan bekalan tebu.
Sementara itu Dr. Shaari berkata Jerantut dipilih sebagai lokasi pelancaran peringkat negeri kerana ia merupakan bazar Ramadan yang paling bersih berbanding lokasi lain di negeri ini.
Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kebersihan lebih kurang 13,000 peniaga premis makanan yang diperiksa di negeri ini setiap tahun.
“Kalau ada yang melanggar peraturan tidak banyak, hanya 120 premis makanan sahaja pada tahun lalu yang ditutup dan ini menggambarkan kita semakin baik berbanding 20 tahun lalu, kita tunjuk ajar lagi peniaga ini untuk mempertahankan mutu premis yang ada.
Beliau berharap, satu hari nanti premis makanan di Pahang akan menjadi tarikan pelancong untuk mendapatkan makanan selamat dan sihat.
Shaari berkata, sepanjang Ramadan ini seramai 140 penguatkuasa makanan di seluruh Pahang akan bergerak di setiap daerah memantau premis makanan dan jumlah itu digandakan dengan bantuan penguatkuasa unit lain bagi memastikan keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…