PELAKON, Dira Abu Zahar meluahkan rasa kecewa dengan tohmahan dan hinaan yang aktif dilemparkan oleh segelintir netizen terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Aktres itu menerusi salah sebuah entri terbaharu yang dimuat naik dalam laman instagram miliknya berkata, sesungguhnya setiap apa yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya.
“YAB Datuk Seri Najib, saya harap berada dalam keadaan yang baik dan sihat selalu. Walau yang dicanang kini hanya keburukan semata-mata, tapi saya percaya, dalam setiapnya, pasti ada yang baik di sebaliknya,” tulis wanita berusia 34 tahun itu.
Dalam pada itu, Dira yang juga merupakan anak kepada mantan Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin turut berkata mana yang elok boleh dijadikan teladan dan yang buruk pula dijadikan sempadan.
Malah, beliau juga meminta orang ramai agar berhenti daripada terus mengutuk dan menghukum bekas perdana menteri itu tanpa belas kasihan.
“Tak perlu keji orang bagai tiada esok lusa. Tak perlu nak menghukum bagai tiada dosa dan pahala. Tak perlu menghakimi sesiapa bagai dunia milik kita semata,” katanya lagi.
Tambah pemilik nama sebenar Khaidhirah Abu Zahar itu lagi, beliau menegaskan akan tetap setia kepada UMNO dan berjanji terus memperjuangkan parti keramat tersebut dengan semangat yang baharu.
“Kami anak muda akan terus memacu parti kesayangan ini dengan semangat lebih progresif, with or without u sir. Insyaallah, kami takkan persiakan amanat DS. Moga Allah SWT merahmati DSN dan keluarga,” katanya.
Sehingga kini, perkongsian itu dilihat mendapat lebih daripada 14,000 tanda suka dan terus menjadi perhatian netizen khususnya di Instagram. – MYNEWSHUB.CC