KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan seorang jurujual lelaki dengan menumbuk muka mangsa, awal bulan lalu.
Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Junaidi Awal Supardi, 35, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan Chan Xia Jiong, 25, di tepi Jalan Lingkaran Tengah MRR2, di sini pada 12.30 pagi, 8 April lalu.
Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda berkenaan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Zaidi Othman memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya kesal dan insaf dengan perbuatannya, manakala Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
“Ada cara baik untuk selesaikan sesuatu masalah…bukan dengan mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.
Difahamkan, tertuduh bertindak menumbuk muka mangsa apabila keretanya dilanggar oleh kereta yang dipandu mangsa sehingga menyebabkan kepala kedua-dua anaknya berusia tiga dan satu setengah tahun terhantuk di kerusi kereta. – BERNAMA