PENCERAMAH terkenal, Ustaz Don Daniyal mengakui terkejut dengan penyebaran berita palsu mengatakan konon dia kini mempunyai dua orang isteri.
Menyangkal dakwaan itu, pemilik nama sebenar Don Daniyal Don Biyajid itu menegaskan bahawa isterinya masih seorang iaitu Dr. Husna Zahry yang dinikahinya pada tahun 2012.
“Sejujurnya saya belum pernah mendengar gosip mengatakan saya kahwin dua dan tidak tahu langsung mengenainya.
“Dakwaan itu tidak benar! Kalau benar saya kahwin dua, seronoklah. Setakat ini isteri saya hanya seorang,” katanya dipetik portal mStar Online.
Dalam pada itu, Don turut berkata sekiranya benar dirinya berpoligami, dia sama sekali tidak akan merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan umum kerana perkahwinan adalah perkara baik dan patut dihebahkan.
“Kalau benar, pasti saya tak akan sorok kerana perkahwinan merupakan perkara baik. Bagaimanapun cerita saya kahwin dua ini memang tidak benar, jadi memang tidak betul,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Don berkata, isterinya mungkin akan berasa marah akan gosip yang bertebaran itu. Namun, dia yakin wanita itu faham dan lebih mengetahui sendiri kebenarannya.
Dalam perkembangan lain, Don dikatakan bakal muncul dengan program bertajuk Al Kauthar Sentuhan Qolbu bersempena Ramadan di Astro Oasis dan Maya HD bermula 14 Mei ini. – MYNEWSHUB.CC/AM