KOTA BHARU – UMNO Cawangan Banggol Lepah, Ketereh, di sini, mencalonkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO pada Pemilihan Agung UMNO 2018.
Usul itu dibawa pada Mesyuarat UMNO Cawangan Banggol Lepah Sabtu lalu dan disokong semua 112 ahli UMNO kawasan terbabit.
Ketuanya, Mohd Noor Yaakob, berkata pihaknya menaruh keyakinan pencalonan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berupaya membina kembali semangat baharu dalam parti bagi menerajui semula negara ini.
“Pemilihan Ku Li sebagai Presiden UMNO bukan bermakna kami tidak percaya dengan kepemimpinan sedia ada, tetapi ahli mahukan perubahan pada peringkat tertinggi parti termasuk barisan ahli Majlis Tertinggi (MT).
“Perubahan bukan sekadar dalam barisan kepemimpinan tetapi hala tuju parti selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini menjadi pembangkang.
“Justeru, pemilihan kepemimpinan UMNO kali ini adalah untuk berubah dengan suara ahli lebih radikal dalam menentukan masa depan parti,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
MT UMNO menetapkan tarikh persidangan cawangan termasuk pergerakan sayap bermula 19 Mei hingga 10 Jun ini, manakala peringkat Bahagian bermula 30 Jun depan.
Mohd Noor berkata, mesyuarat pada peringkat cawangan berjalan lancar dan tertib dalam suasana semua ahli parti sudah menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.
“Isu yang dibawa pada mesyuarat cawangan ini lebih berkisar kepada keinginan semua ahli melihat perubahan menyeluruh dalam parti sama ada di peringkat cawangan atau pusat,” katanya. – myMetro Online