SEORANG mekanik di Yogyakarta, Indonesia dikecam gara-gara tindakannya menghukum seorang pencuri cilik dengan mengarahkan menyiram diri sendiri menggunakan minyak hitam.
Menerusi rakaman video yang tersebar di media sosial, memaparkan kanak-kanak malang berkenaan ‘mandi minyak’ selepas didapati kantoi mencuri alat ganti motosikal di bengkel milik mekanik itu.
Kebanyakkan netizen tempatan menyifatkan hukuman berkenaan adalah keterlaluan, lebih-lebih lagi suspek merupakan seorang anak yatim.
Pun begitu, mekanik terbabit yang dikenali sebagai Arif Alfian itu berkata, hukuman itu bertujuan memberi kesedaran agar suspek tidak mengulangi perbuatannya.
Malah jelasnya, suspek juga memilih untuk dihukum sebegitu kerana tidak mahu kes itu dilaporkan kepada pihak berkuasa atau penjaganya.
“Saya hanya ingin memberikan pengajaran agar dia tidak mengulangi hal yang sama, pada awalnya saya mahu mengadukan kecurian itu pada orang tuanya, tapi dia menolak.
“Dia kemudian berkata akan melakukan apa sahaja yang saya suruh jika kecurian itu tidak di adukan kepada orang tuanya.
“Saya kemudian menyuruhnya mandi dengan minyak hitam, terus dia lakukan,” katanya dipetik portal Detik.
Arif difahamkan meluahkan rasa bersalah dan memohon maaf kepada orang ramai susulan mendakwa dirinya tidak mengetahui bahawa kanak-kanak tersebut merupakan seorang yatim piatu. – MYNEWSHUB.CC