GHAIB… Kerusi Parlimen Pandan di Selangor menyaksikan hanya empat daripada lima calon yang berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Keempat-empat mereka kemudian dilihat beramah mesra dengan pengundi termasuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Leong Kok Wee yang menjadi tumpuan selepas membuang undi di Dewan Orang Ramai Taman Saga.
Bagaimanapun, kelibat Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga salah seorang calon kerusi itu masih belum tiba kerana terpaksa membuang undi nun jauh di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Pulau Pinang.
Lucunya, isteri kepada ketua umum parti tersebut mengundi pula untuk anaknya sendiri, Nurul Izzah Anwar yang bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan ditentang sengit oleh dua calon lain dari BN dan PAS.
Untuk rekod, Wan Azizah merupakan penyandang kerusi tradisi kubu kuat PKR daripada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menguasai Permatang Pauh daripada PAS ketika itu atas tiket BN sejak PRU pada 1982 lagi.
Beberapa orang pengundi di kawasan Pandan yang ditemui portal berita BNBBC.my dilaporkan teringin sangat hendak melihat secara dekat Wan Azizah namun kecewa kerana beliau masih belum menampakkan wajahnya itu.
“Tak sama macam calon lain awal pagi sudah jumpa kita, pilih dia (Wan Azizah) sama nasib juga macam Kajang dan Permatang Pauh’,” luah seorang penduduk tempatan yang pernah mengundi Rafizi Ramli pada PRU ke-13 lalu.
Beliau yang enggan mendedahkan namanya turut mendakwa merupakan penyokong tegar pembangkang sebelum ini, namun tidak lagi melihat perkhidmatan disalurkan oleh ahli politik terdahulu daripada parti berkenaan.
Individu tersebut dilaporkan BNBBC.my juga dilihat begitu marah dengan Wan Azizah dan menempelak tindakannya yang hanya pandai berlakon meraih simpati suami untuk menarik undi penduduk di kerusi Pandan.
“Selalu menangis, selalu merayu tapi tidak pandai buat kerja, saya pun boleh buat begitu dengan lebih baik,” ujarnya dalam nada sindiran sambil beberapa pengundi lain tertawa mendengar keluhan jujurnya itu secara spontan.
Sebelum itu, calon BN dilihat tiba di pusat pengundian pada pukul 8.30 pagi sementara calon PRM, Jenice Lee membuang undi tepat pada jam 9 pagi di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA