NEW DELHI – Polis India terpaksa menggunakan julap selama beberapa hari untuk mengeluarkan 106 kapsul kokain bernilai AS$900,000 (RM3.5 juta) daripada perut seorang wanita Brazil yang cuba menyeludup bahan itu ke negara berkenaan.
Wanita berusia 28 tahun itu ditahan pada 14 Mei lalu selepas tiba di lapangan terbang New Delhi dari Sao Paolo, menurut Superintenden Biro Kawalan Narkotik, Vishwa Vijay.
“Dia dibawa ke hospital Safdarjung dan doktor menggunakan julap selepas ujian sinar X menunjukkan kewujudan kapsul berkenaan,” katanya.
Kapsul itu, mengandungi kira-kira 930 gram kokain asli Amerika Selatan, sepatutnya disampaikan kepada penjual di ibu kota India itu.
Berdasarkan undang-undang India, hukuman maksimum bagi penyeludupan dadah adalah 20 tahun. – Astro Awani