TEGAS… Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu mengeluarkan waran tangkap terhadap calon PAS, Wan Ismail Wan Jusoh, berhubung kegagalannya bayar tunggakan nafkah dua anak berjumlah RM78,000 sejak 2011.
Keputusan itu dibuat selepas bekas isterinya, Siti Aishah Chou Abdullah, 30-an, menerusi peguam syarie, Rosmah Mohd Zain memfailkan saman penghutang penghakiman supaya Wan Ismail membayar tunggakan nafkah.
Menurut media tempatan, ia melibatkan tempoh dari Julai 2011 sehingga Disember 2017 terhadap dua orang anaknya, Wan Ahmad Firdaus, 13, dan Wan Nor Salwa, 12, yang sudah ditetapkan pada 4 Januari lalu.
Rosmah berkata, waran tangkap terhadap Wan Ismail, 63, yang bertanding bagi kerusi Parlimen Ketereh dikeluarkan hari ini bagi membolehkan polis menangkap untuk dimasukkan ke dalam penjara selama sebulan.
Katanya, sebelum ini, Siti Aishah iaitu mualaf warga Kemboja membuat tuntutan nafkah terhadap dua anaknya pada 2009 di Mahkamah Syariah Kota Bharu selepas disahkan bercerai pada 18 November 2008.
Bagaimanapun, Wan Ismail gagal membayar nafkah RM1,000 sebulan kepada kedua-dua anaknya selepas diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu di Kelantan pada 13 Julai 2011.
“Wan Ismail berkahwin dengan Siti Aishah pada 1 November 2004 di sebuah masjid di Narathiwat, wilayah selatan Thailand sebelum melafazkan cerai di luar mahkamah tanpa kebenaran pada 16 April 2008.
“Selepas kegagalan Wan Ismail membayar nafkah sejak Julai 2011, Siti Aishah sekali lagi memfailkan saman penghutang penghakiman pada 4 Januari lalu supaya bekas suaminya itu membayar tunggakan nafkah anaknya.
“Wan Ismail pada ketika itu sudah bersetuju untuk membayar kesemua tunggakan ke dalam sebuah akaun anaknya, namun akaun itu didaftar atas nama Wan Ismail dan anaknya.
“Keadaan ini menyebabkan Siti Aishah tidak dapat mengeluarkan wang berkenaan untuk diberikan kepada anaknya,” kata Rosmah ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata, berikutan itu, Siti Aishah sekali lagi membuat notis penghakiman di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu pada hari ini, bagi membolehkan waran tangkap dikeluarkan terhadap bekas suaminya itu.
“Sebelum ini, mahkamah sudah mengeluarkan perintah sekiranya dia (Wan Ismail) gagal membayar tunggakan nafkah anak dalam masa seminggu bermula 27 Februari, dia akan dipenjara selama sebulan.
“Hari ini kita menerima notis penghakiman dan mahkamah memutuskan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Wan Ismail,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA