PETALING JAYA – Seorang warga emas menarik nafas lega selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengugut mahu mencederakan abang iparnya, dua tahun lepas.
Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu terhadap M. A Peraisamy, 62, seorang pengawal keselamatan, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.
Nor Ariffin berkata kegagalan pihak pendakwaan memanggil isteri tertuduh untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu telah mewujudkan kelompongan, sedangkan keterangan wanita itu adalah material.
Peraisamy yang berada di kandang tertuduh kelihatan tersenyum selepas mendengar keputusan itu.
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan ke atas M. Ganesan, 55, dengan mengeluarkan kata-kata ugutan hendak mendatangkan kecederaan ke atas mangsa.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Seroja, Kampung Kayu Ara Damansara, di sini pada 2 petang, 24 Nov 2016 mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Zaid Malek. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..