PUTRAJAYA – Rakyat perlu berwaspada, tidak terpengaruh serta keliru dengan pelbagai penyelewengan psiko-sosial menerusi kempen secara maya menjelang saat-saat akhir Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Raduan Che Rose berkata kempen di media sosial dijangka berterusan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen berakhir pada 11.59 malam 8 Mei.
“Kempen secara maya pada saat akhir dijangka lebih dahsyat dan terdedah kepada putar belit dan berita tidak benar kerana pada masa itu pihak tertentu terdesak untuk mendapatkan undi,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan mengenai strategi ekonomi negara di ibu pejabat MPN di sini, hari ini.
Jelas beliau, antara penyelewengan fakta yang disebarkan kepada masyarakat sebelum ini ialah kononnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup sekali gus membebankan hidup rakyat pada masa ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din tidak menolak kemungkinan berlaku kempen secara agresif termasuk serangan peribadi melalui media sosial sebelum rakyat keluar mengundi pada 9 Mei.
“Tindakan sedemikian adalah umpama ‘pecutan saat akhir’,” katanya.
Mohamed Fadzil berkata oleh itu, para pengundi perlu memperkasakan minda masing-masing supaya tidak terpengaruh dengan berita bersifat negatif.
Beliau berkata, antara helah yang sering digunakan pihak tertentu untuk menggambarkan negara tidak diurus dengan baik ialah mendedahkan kes terpencil seperti terdapat satu atau dua keluarga yang ‘tidak cukup makan’.
Sedangkan, katanya, perkara sebegitu tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja dan boleh berlaku di mana-mana negara malah di negara maju ada juga rakyatnya yang dijumpai mati di dalam salji. – BERNAMA