PEMAIN sensasi England, Wayne Rooney pada dasarnya dilaporkan bersetuju dengan perjanjian untuk menyertai DC United di Amerika Syarikat (AS) pada musim ini.
Ketika ini pemain berusia 32 tahun yang melengkapkan perpindahan dari Manchester United ke Everton pada Julai tahun lalu itu sudah menjaringkan 11 gol dalam 40 penampilannya untuk The Toffees.
Menurut laporan stesen Sky Sports, wakil Rooney berada di AS untuk memuktamadkan rundingan mengenai perpindahan ke Major Soccer League (MLS).
Rooney ditawarkan kontrak yang akan menyaksikannya kekal bersama DC United hingga hujung kempen MLS pada 2020 dengan 12 juta pound sterling dipersetujui pada dasarnya.
Bagaimanapun kontrak itu masih belum ditandatangani dan dengan kedudukan Sam Allardyce di Everton boleh mempengaruhi Rooney untuk terus kekal di Goodison Park.
Ejen Rooney, Paul Stretford mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab MLS sebelum dia menyertai Everton pada musim panas lalu.
Rundingan terbaharu yang dibincangkan dengan Ketua Eksekutif DC United, Jason Levein bagaimanapun dinafikan sejak tujuh minggu lalu.
Menurut khabar angin, perpindahan Rooney akan diumumkan sebaik sahaja jendela perpindahan kedua dibuka pada 10 Julai depan.
Perlawanan Everton menentang West Ham di gelanggang lawan bakal menyaksikan penampilan terakhir Rooney di England. – mStar Online