NEW YORK – Penerbit filem tersohor Hollywood, Harvey Weinstein berdepan tuduhan merogol dan jenayah seksual di mahkamah New York semalam, satu kejayaan untuk kempen #MeToo, lapan bulan selepas kariernya terjejas akibat dakwaan salah laku seksual.
Penerbit yang pernah memenangi banyak anugerah Oscar itu dilihat mengukir senyum pendek ketika diiring masuk ke dalam mahkamah Manhattan dengan keadaan bergari untuk mendengar pertuduhan pertama ke atasnya.
Weinstein, 66, bapa kepada lima anak yang pernah berkahwin sebanyak dua kali didakwa dengan kesalahan rogol darjah pertama serta ketiga dalam serangan terhadap wanita pada tahun 2013 dan jenayah seksual ke atas seorang lagi mangsa pada tahun 2004. Nama kedua-dua mangsa bagaimanapun dirahsiakan.
Peguam Daerah Manhattan, Cyrus Vance berkata, pertuduhan dikenakan ke atas Weinstein semalam menandakan kes membabitkan tertuduh dikendalikan secara agresif dengan siasatan yang sentiasa berjalan selagi ia belum selesai.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua mangsa kerana berani tampil dan menggesa semua yang terbabit untuk menghubungi talian jenayah seks.
Berdiri di sebelah peguam belanya, bekas individu penting Tinseltown itu kelihatan sugul sepanjang pertuduhan dibacakan dan bersetuju untuk membayar ikat jamin berjumlah AS$1 juta (RM3.98 juta) secara tunai selain menyerahkan pasport antarabangsa dan membiarkan dirinya dipasang dengan alat pemantau global (GPS).
Karier Weinstein menemui kehancuran Oktober tahun lalu susulan dakwaan serangan seksual dan pendedahan menggemparkan dalam akhbar The New York Times serta New Yorker, sekali gus mencetuskan gerakan menentang gangguan seksual dalam pelbagai industri di seluruh Amerika Syarikat.
Hampir 100 wanita tampil ke depan dan mendakwa pernah menjadi mangsa gangguan seksual Weinstein, termasuk rogol serta serangan lain sejak beberapa dekad lalu. – AFP