KEM PANGKALAN EVEREST – Wi-Fi, makanan dibakar dan kopi bergaya, tiada lagi hari sengsara di sini dengan kemudahan hipster dan moden memastikan kehidupan lebih selesa di daratan tertinggi dunia.
Glasier Khumbu di kaki Gunung Everest menukar setiap musim bunga kepada metropolis altitud tinggi dengan kemewahan mengejutkan buat ratusan pendaki yang menyasar menakluk puncak tertinggi dunia itu.
Makanan dalam tin dan telefon satelit besar adalah peralatan masa lalu.
Namun pendaki pada hari ini menikmati salad segar, Instagram dan segala macam keselesaan tidak dapat dibayangkan apabila Edmund Hillary dan Tenzing Norgay kali pertama sampai ke puncak setinggi 8,848 meter, 65 tahun lalu.
“Soalan pertama yang ditanya pendaki ketika tiba di kem pangkalan adalah, di mana Wi-Fi. Soalan kedua adalah air panas,” kata veteran Everest, Russell Brice, pemilik Himalayan Experience, satu daripada pengendali ekspedisi paling lama dan terkenal.
Pasukan pertama yang berani mendaki Everest mengambil masa sebulan untuk sampai ke kem pangkalan di sebelah pergunungan Nepal.
Laluan itu dipendekkan kepada lapan hari dengan pembinaan landasan kecil pergunungan di Lukla, pintu masuk rantau Everest.
Kira-kira 2,500 yak melakukan perjalanan pada permulaan musim bunga pendakian sejak April untuk menukar glasier berbatu itu kepada bandar tertinggi dunia selama dua bulan dalam setahun.
Khemah memiliki lantai permaidani dan jambakan bunga. Paip air panas menggunakan kuasa suria menawarkan kelegaan daripada suhu sejuk beku di luar.
Briged helikopter memastikan khemah itu dibekalkan dengan penghantaran bekalan segar harian bagi menampung kira-kira 1,500 orang di kem pangkalan.
Pendaki yang mahu berehat daripada kehidupan altitud tinggi malah boleh menaiki helikopter ke Kathmandu untuk rehat dan rawat sebelum kembali mendaki.
Di kem Alpine Ascents, sarapan dihidangkan bersama kopi Turki.
“Mesin cappuccino tidak berfungsi di altitud tinggi,” kata pengarahnya, Gordon Janow.
Sementara itu, di kem Seven Summit Treks, bau roti kayu manis baharu dibakar dari bakeri menyambut pendaki yang kembali dari punca gunung.
Salad segar dihidangkan Adventure Consultants, pengendali berpusat di New Zealand, yang mana cefnya pernah bekerja di sebuah restoran Michelin tiga bintang di Perancis. – AFP