PELANTUN lagu Kau Di Hatiku iaitu Datuk Zainal Abidin dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Isnin.
Memetik mStar Online, kejadian dikatakan berlaku ketika Zainal dan isteri dalam perjalanan dari kediaman mereka di Shah Alam, Selangor menuju ke Jalan Duta sebelum sebuah kenderaan jenis MPV melanggar kenderaan miliknya dari belakang.
“Ketika kejadian kereta di hadapan saya tiba-tiba memperlahankan kelajuan sebelum kereta di belakang saya yang dipandu laju tidak sempat menekan brek lalu melanggar kenderaan saya.
“Terkejut juga tetapi perkara sudah hendak berlaku namun saya kasihankan pemandu MPV itu kerana keretanya rosak teruk,” jelas Zainal.
Perkara itu malah dikongsi oleh Zainal sendiri menerusi entri di laman Instagram miliknya yang jelas memaparkan keadaan kemalangan dan kerosakan yang dialami oleh kenderaan yang melanggarnya.
Ekoran itu juga, keadaan lalu lintas sesak dan dilihat pihak polis turut berada di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.
Bagaimanapun, Zainal meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun impak pelanggaran agak kuat.
Tambahnya lagi, pemandu MPV itu juga berada dalam keadaan baik dan perkara itu sudah pun diselesaikan. – MYNEWSHUB.CC