Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

Kerajaan Mempunyai Hak Nasihat...

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia mempunyai hak menasihatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau...

Mengapa Sudu Aiskrim McFlurry...

BUAT peminat aiskrim McFlurry di restoran McDonald's, pasti anda mungkin tertanya-tanya mengapa sudu...

9 Rumah Bumbung Rosak...

BAGAN SERAI - Sebanyak sembilan rumah rosak di bahagian bumbung akibat dilanda ribut...

Video: “Pagar Rumah Pun...

POLIS kini memburu dua lelaki yang melarikan dua pagar besi dari sebuah rumah...

2018 Raya Paling Menyedihkan Dalam Sejarah

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba dalam beberapa hari saja lagi ini boleh dikatakan raya paling sedih bagi seluruh rakyat Malaysia secara amnya.

Mana tidaknya, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, terlalu banyak janji-janji yang masih belum ditunaikan.

Malah, tidak diketahui sama ada janji-janji tersebut hanya ditangguhkan sahaja atau dibatalkan terus oleh kerajaan dengan harapan rakyat akan terlupa dengan manifesto berkenaan.

Tidak dinafikan, hari raya merupakan satu kali dalam setahun untuk orang ramai bersuka-ria menyambut keriangan Syawal bersama keluarga tercinta.

Namun, buat perayaan tahun ini, terlalu ramai individu yang turut terkena impak buruk peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan PH.

1) Rakyat

Rakyat secara umumnya tertipu dengan banyak janji-janji PH yang tidak dilaksanakan sehingga ada di antara mereka yang kini meluahkan rasa kesal mengundi kerajaan baharu itu.

Baru sahaja sebulan berkuasa, beberapa pimpinan tertinggi PH telah mengeluarkan kenyataan bahawa sukar untuk mereka menunaikan semua manifesto 10 janji dalam 100 hari yang menjadi antara penyebab rakyat mengundi mereka.

Keadaan yang berlaku ini menyebabkan orang ramai kini terpaksa beraya secara bersederhana memandangkan kesemua janji telah gagal ditepati oleh kerajaan.

2) Penjawat Awam

Kakitangan awam merupakan antara golongan yang paling teruk terjejas selepas PH berjaya membentuk kerajaan apabila menjadi mangsa politik dendam kerajaan itu.

Ini boleh dilihat apabila Perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa seramai 17,000 penjawat awam ditamatkan perkhidmatan atas alasan mereka ini merupakan lantikan politik kerajaan terdahulu.

Bukan itu sahaja, bonus raya yang diberikan juga dipotong menjadi RM400 sedangkan kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan sebanyak RM500 untuk kakitangan awam menyambut Aidilfitri.

Baca: Najib Sediakan RM500 Untuk Semua Kakitangan Awam

Lebih menyedihkan, kenaikan tangga gaji yang sepatutnya diterima oleh penjawat awam pada 1 Julai ini seperti yang diumumkan Najib juga masih samar-sama dan tidak diketahui statusnya di bawah kerajaan PH.

3) Peneroka Felda

Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan insentif raya berjumlah RM450 kepada peneroka Felda dan Felcra, termasuk bukan ahli Felda bagi perayaan kali ini.

Bagaimanapun, sekali lagi jumlah yang diberikan adalah kurang daripada jumlah RM 500 yang diberikan oleh BN pada tahun-tahun sebelumnya.

Malah, bantuan khas ini hanya diumumkan minggu lalu oleh kerajaan setelah didesak oleh ramai pihak termasuk UMNO sendiri yang tidak mahu kerajaan PH memainkan isu RM1 trilion sebagai alasan untuk tidak memberikan bantuan hari raya kepada peneroka Felda.

Juga: Apakah Tiada Bonus Untuk Peneroka Felda Tahun Ini?

Bukan itu sahaja, dalam manifesto 100 hari PH, mereka berjanji untuk menghapuskan hutang-hutang yang tidak wajar kepada peneroka Felda. Namun sehingga kini, tidak nampak sebarang tanda menunjukkan bahawa janji itu akan ditunaikan.

4) Pemandu Teksi

Masalah lama yang disuarakan pemandu teksi masih tidak dapat diselesaikan. Terutamanya mengenai perkhidmatan e-hailing seperti GrabCar yang dilihat mengganggu periuk nasi pemandu teksi.

Terbaharu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dimansuhkan dan digantikan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Nampaknya masalah yang dialami pemandu teksi ini masih tiada jalan penyelesaiaan efektif yang boleh mendatangkan win-win situation untuk semua pihak.

Jika SPAD yang merupakan satu suruhanjaya sebelum ini juga gagal membantu pemandu teksi sebelum ini, apakah yang boleh dilakukan APAD untuk menyelesaikan masalah ini?

Lebih menyakitkan, janji Mahathir ingin mengkaji semula peranan perkhidmatan e-hailing bagi melindungi periuk nasi pemandu teksi juga masih tidak nampak tanda-tanda akan dilaksanakan.

5) Pengguna Jalan Raya

Janji kerajaan PH sebelum ini untuk menghapuskan tol nampaknya sekadar kata-kata manis untuk memancing orang ramai untuk mengundi mereka pada pilihan raya yang lalu.

Senang kata, rakyat telah ditipu hidup-hidup dengan janji tidak realistik yang diutarakan PH sewaktu berkempen tempoh hari.

Malah, perdana menteri hanya mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus bagi semua lebuhraya di negara ini, selama dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Ia jauh sekali dengan janji Najib dan BN pada malam PRU14 yang lalu untuk memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya selama lima hari sempena Aidilfitri ini.

6) Minyak Kenderaan

Antara janji menarik dan memukau kerajaan PH sebelum PRU14 adalah kononnya harga RON95 bakal diturunkan sehingga RM1.50 selepas sehari menawan Putrajaya.


Sehingga kini, harga minyak RON95 masih kekal sama seperti pada zaman Najib dan tidak berlaku sebarang penurunan harga.

Lebih memeritkan buat rakyat menjelang raya, harga minyak RON97 pula naik mendadak sebanyak 19 sen bagi tempoh seminggu hingga 13 Jun ini. Aik, tak ada subsidi ke?

Perlu diingat ada juga pengguna kenderaan yang menggunakan minyak RON97 untuk kereta mereka. Bayangkan perjalanan balik kampung mereka dengan harga minyak yang tiba-tiba sahaja naik sebelum raya.

7) Sabah Dan Sarawak

Pada PRU14 yang lalu, Sabah dan Sarawak turut memainkan peranan penting dalam kemenangan PH apabila pakatan itu menang besar di dua negeri tersebut.

Namun sehingga kini, kedua-dua negeri tersebut seperti dianaktirikan apabila pelantikan Kabinet hanya membabitkan wakil rakyat dari Semenanjung dan tiada wakil dari Sabah dan Sarawak.

Disebabkan itu, sudah timbul suara yang merasakan bahawa Sabah dan Sarawak yang memainkan peranan membentuk Malaysia pada 19 September 1963 kini seolah tidak dihargai.

Ketika pemerintahan BN, 13 menteri dan lapan timbalan menteri dilantik dari dua negeri terbabit, masing-masing enam menteri dan empat timbalan menteri dari Sabah, manakala tujuh menteri dan empat timbalan menteri dari Sarawak.

Bagaimanapun kali ini, PH pula dilihat seperti mengabaikan Sabah dan Sarawak dalam perlantikan kabinet sedangkan dua negeri tersebut berjasa dalam kemenangan mereka.

8) Penerima PTPTN

Janji PH untuk menangguhkan bayaran penerima Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga gaji mereka mencecah RM4,000 juga sekadar janji palsu.

Tempoh hari, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan bahawa janji tersebut akan ditunda kerana pihaknya memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji itu.

Oleh itu, penerima wang pinjaman tersebut perlu meneruskan pembayaran seperti biasa dan sekali lagi menunjukkan PH gagal melaksanakan janji yang ditetapkan dalam manifesto mereka.

Ini bermakna peminjam PTPTN perlu menyambut hari raya dengan hati yang kecewa selepas ditipu kerajaan.

9) Suri Rumah

Isu yang kecoh tempoh hari tentunya mengenai caruman KWSP untuk suri rumah, di mana sebanyak dua peratus diambil dari gaji suami untuk diberikan kepada golongan itu.

Setelah menjadi perdebatan ramai, kerajaan kemudiannya mengumumkan cadangan untuk mengambil dua peratus itu daripada 11 peratus caruman KWSP suami sebagai usaha mengiktiraf wanita.

Bagaimanapun, mekanisme pelaksanaan pemotongan caruman tersebut masih tidak jelas dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Malah, sehingga kini masih tidak ada berita susulan daripada cadangan itu.

Bukan itu sahaja, perkara ini telah menimbulkan konflik serta rasa sangsi isteri terhadap suami sehingga timbulnya perdebatan di media sosial.

10) Peniaga

Peniaga juga merupakan antara individu yang akan menerima kesan daripada peralihan kerajaan ini memandangkan iklim perniagaan negara yang semakin teruk.

Sejak kerajaan mengumumkan kononnya hutang negara mencecah RM1 trilion tempoh hari, pelabur luar juga mula menarik diri sekaligus memberi kesan terhadap ekonomi negara secara menyeluruh.

Bukan itu sahaja, nilai ringgit yang semakin lemah juga menjadi salah satu punca perkara itu berlaku sekaligus menyukarkan institusi perniagaan negara.

Kehadiran semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan semula tidak lama lagi juga dilihat hanya akan membebankan lagi peniaga yang seterusnya akan membebankan para pembeli.

Tanpa kita sedari, pentadbiran PH dalam era ‘Malaysia Baharu’ telah menyebabkan terlalu ramai orang yang terpaksa bersedih pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Nampaknya, kedatangan 1 Syawal akan disambut dengan hiba memikirkan hidup dengan beban dan keresahan nasib selepas proses peralihan kerajaan ini.

Dengan janji-janji yang tidak ditunaikan serta amalan politik dendam oleh kerajaan, raya tahun ini lebih menyedihkan dari tahun-tahun sebelumnya di bawah kerajaan terdahulu. – MYNEWSHUB.CC

Kategori