KEMAMAN – Sebanyak 2,000 batang lemang diedarkan kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selama dua hari di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing bermula semalam.
Timbalan Exco Pelancongan II Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Abd Razak Ibrahim berkata lemang tersebut diagihkan secara percuma kepada perantau yang pulang berhari raya sempena sambutan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
“Ini adalah kolaborasi antara kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Kemaman bersama Syarikat LPT2 Sdn. Bhd. dalam menonjolkan dan memperkenalkan hentian Pelancongan R&R Perasing yang juga dikenali sebagai ‘Mini Kemaman’ di samping mempromosikan produk makanan tempatan di Kemaman.
“Seperti yang kita ketahui di Kemaman terkenal dengan Lemang Kijal yang mempunyai identiti rasa tersendiri kerana ia antara makanan kegemaran ramai dan populariti Lemang Kijal masih tetap bertahan walaupun lebih daripada 20 tahun selain mampu menggamit kunjungan pengguna laluan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas agihan lemang dan kudapan berbuka puasa percuma di Hentian R&R Perasing di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata melalui promosi dan program-program yang sentiasa diadakan di R&R Perasing telah berjaya menarik kunjungan pengguna LPT2.
“Pada hari ini kita dapat lihat perbezaan suasana R&R Perasing tahun ini dengan tahun lalu yang mana pada hari ini kita lihat telah ramai pengunjung-pengunjung pengguna LPT yang singgah berehat di sini selain lebih banyak gerai dibuka kerana berlakunya peningkatan pemintaan selepas kejayaan kita mempromosi R&R Perasing.
“Selepas ini kita akan membuka Tourist Information Center (TIC) untuk kita paparkan dan memberi informasi mengenai tempat-tempat pelancongan yang menarik dan makanan tempatan di Kemaman kepada mereka yang singgah di sini,” katanya.
Menurut Tun Ahmad Faisal, melalui TIC makanan-makanan tempatan seperti Lemang Kijal dan satar juga akan dipasarkan di R&R Perasing bagi membolehkan pengguna LPT2 mendapatkan makanan tersebut tanpa masuk ke Bandar Kemaman di samping membuka peluang perniagaan kepada peniaga tempatan. – BERNAMA