GUA MUSANG – Tiga beranak maut dan empat cedera dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Saga dan Proton Wira di Kilometer 55, Jalan Gua Musang – Kuala Krai, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa maut di tempat kejadian ialah penumpang kereta Proton Saga, Ibrahim Mat Rifin, 61; isterinya, Mahani Mohd Nasir, 58, dan anak mereka Rosinani Ibrahim, 35. Semua mereka yang parah di kepala dan badan, meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) awal pagi tadi.
Mereka yang cedera dan menerima rawatan di HGM pula adalah anak mangsa yang juga pemandu kereta itu, Nur Farain, 26; pemandu kereta Proton Wira, Mohamad Faris Junuh, 22; dan dua penumpangnya, Muhamad Nurazman Nordin, 19; serta Mohamad Izaman Mohd Zulkifli, 21.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kemalangan berlaku ketika kereta Proton Saga dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Gua Musang.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, kereta dinaiki sekeluarga itu cuba memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan kereta dinaiki tiga sahabat itu yang datang dari arah bertentangan.
Katanya, kedua-dua kereta itu remuk teruk, menyebabkan suami isteri yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Anak mereka, Rosinani turut parah di kepala dan badan meninggal dunia jam 5.15 pagi tadi di HGM selepas 12 jam kejadian itu,” katanya.
Mohd Taufik berkata, tiga mangsa yang maut itu berasal dari kawasan perindustrian Semambu, Kuantan, manakala tiga sahabat yang parah itu pula tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh 1, Gua Musang.
Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat dan kemalangan itu di siasat mengikut Sek.41(1) APJ 1987. – BH ONLINE