HULU SELANGOR – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 554 anak yatim di sekitar Hulu Selangor, di sini.
Setiap anak yatim menerima RM100 seorang sumbangan tiga syarikat iaitu Pancar Bakti Sdn Bhd (RM50,000), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM10,000) dan Aiman Platinium Sdn Bhd (RM5,000) yang disalurkan melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Ketua Pegawai Eksekutif YIDE Nur Mohd Razali Abdullah berkata pihaknya berterima kasih kepada ketiga-tiga syarikat atas sumbangan tersebut.
“Tahun 2018, YIDE memperuntukan RM849,200 untuk disalurkan kepada 8,492 anak yatim di seluruh Selangor yang berdaftar dengan YIDE.
“Ini termasuk sumbangan sebanyak RM23,200 yang disalurkan kepada dua rumah anak yatim di bawah seliaan YIDE iaitu Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Melaka dan Rumah Bakti Dato Harun, di Hulu Kelang, Selangor,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut. – BERNAMA