KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg mempamerkan aksi cemerlang untuk meraih pingat gangsa acara 10m platform wanita pada Piala Dunia FINA 2018 di Wuhan, China.
Penerjun berasal dari Sarawak itu mengumpul 349.15 mata selepas lima terjunan pada aksi di Pusat Sukan Natatorium Wuhan, malam ini.
Beliau yang memulakan terjunan dengan tidak begitu baik, bangkit pada terjunan keempat untuk berada di kedudukan ketiga sekali gus memenangi pingat gangsa.
Pingat emas dan perak acara itu didominasi penerjun China, masing-masing melalui Zhang Jiaqi selepas mengutip 427.30 mata dan Ren Qian yang memperoleh 403.85 mata.
Kemenangan Pandelela itu merupakan pingat pertama diraih Malaysia pada edisi kali ini, selepas tiga hari kejohanan berkenaan membuka tirai.
Terdahulu, dalam saingan awal pada Selasa, Pandelela layak ke separuh akhir selepas berada di kedudukan ke-12 dalam kalangan 18 penerjun terbaik, dengan mengutip 295.70 mata.
Sementara di peringkat separuh akhir, hanya 12 penerjun terbaik mara ke final. Pandelela menamatkan saingan tersebut di kedudukan ketiga selepas mencatat 347.15 mata.
Pada hari keempat kejohanan esok, Pandelela akan bergandingan dengan juara dunia, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama, manakala seorang lagi penerjun negara, Ooi Tze Liang akan beraksi dalam saingan separuh akhir acara 3m papan anjal lelaki. – BERNAMA