RAMAI dalam kalangan kita terlalu sibuk dengan kerja sehingga terlupa atau langsung tidak sempat untuk servis kereta sendiri.
Tambahan pula, perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke rumah masing-masing pada waktu raya ini memerlukan pemeriksaan yang teliti terhadap kenderaan.
Sekiranya kita tidak menguruskan kereta dengan betul, ia boleh menjejaskan harga apabila tiba masa untuk dijual ataupun mudah rosak pada bila-bila masa.
Berikut adalah 7 tip pemeriksaan kereta yang mudah dan berguna boleh diikuti.
1. Pemeriksaan Tayar
Jangka hayat penggunaan tayar dapat bertahan lebih lama jika dikenakan tekanan agin pada tayar dengan betul.
Tekanan angin yang betul ditentukan oleh pengilang kereta dan dinyatakan sama ada dalam pintu pemandu atau penutup minyak petrol. Tekanan angin berbeza bergantung kepada jenama, model dan beban semasa kenderaan.
Disyorkan untuk membuat pemeriksaan tekanan tayar termasuk tayar gantian sekurang-kurangnya sekali sebulan, sebelum membuat perjalanan yang jauh dan apabila terdapat perubahan dalam beban kenderaan.
2. Masalah Brek
Brek adalah bahagian yang sangat penting dalam kenderaan demi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang.
Beberapa tanda penurunan prestasi brek dapat dikesan melalui simptom berikut:
- Bunyi bising pada brek yang dihasilkan
- Terpaksa menekan brek lebih jauh ke lantai dari kebiasaannya
- Terasa gegaran luar biasa apabila menekan brek
- Kereta seolah-olah ditarik ke kanan atau kiri semasa menekan brek.
3. Radiator
Pemeriksaan berkala terhadap tahap cecair dalam sistem penyejukan kereta perlu dilakukan secara berkala pada radiator yang berfungsi untuk menyejukkan enjin kereta.
Sebelum membuka penutup pada radiator, cuba semak dahulu dengan melihat sama ada cecair penyejuk radiator telah mencapai garis “Full” atau “Max” di sebelah takungan pendingin.
Jika cecair tidak mencapai garis “Full”, tambahkan campuran 50 peratus air dan 50 peratus cecair penyejuk. Sesetengah cecair penyejuk telah dicampur air, jadi periksa botol untuk melihat sama ada kita perlu menambah air atau hanya guna terus. Elak daripada menambah sehingga aras melepasi garisan “Full”.
Anda diingatkan perlu berhati-hati dan jangan sesekali tambah cecair penyejuk kereta ketika enjin masih panas! Jika semasa memandu, jarum temperature naik mencecah “H”, anda perlu berhentikan kenderaan dan tunggu sehingga sejuk sebelum memeriksa keadaanya.
4. Uji bateri kereta
Jika sistem elekronik kenderaan seperti kunci kawalan jauh atau lampu dalaman hanya berfungsi secara rawak mungkin disebabkan masalah bateri kereta.
Bagi mengekalkan prestasi bateri kereta pada tahap optimum, kita digalakkan untuk menguji bateri kereta sebanyak dua kali setahun.
Kebanyakan pusat servis menawarkan ujian bateri secara percuma yang hanya memakan masa lima minit.
5. Wiper
Bilah pengelap kaca (wiper) yang bermasalah boleh mengganggu penglihatan kita dan mengancam keselamatan di jalan raya terutamanya pada waktu hujan lebat.
Antara amalan mudah yang boleh dipraktikkan termasuk membersihkan cermin kereta setiap kali kita mengisi tangki minyak, membersihkan kotoran pada bilah pengelap dengan tisu lembap serta membuat pemeriksaan untuk sebarang keretakan pada bilah.
6. Minyak Hitam
Minyak enjin adalah nadi kenderaan kita dan wajib ditukar mengikut tempoh masa pengunaan atau jumlah jarak perjalanan.
Secara umumnya, minyak enjin jenis semi-sintetik boleh digunakan sehingga 5,000 kilometer atau 3 bulan manakala minyak sintetik penuh boleh digunakan sehingga 10,000 kilometer atau 6 bulan.
Sebaiknya elakkan daripada melengahkan penukaran minyak enjin, kerana ia boleh menyebabkan pembentukan enapan dan kerosakan pada bahagian dalam enjin.
7. Kit Kecemasan Kereta
Kit kecemasan kereta adalah salah perkara penting yang perlu disediakan oleh pemandu kerana kerosakan kenderaan boleh berlaku di mana-mana dan pada masa yang tidak dijangka.
Antara barang-barang yang harus menjadi sebahagian daripada setiap kit kecemasan kereta ialah:
- Telefon bimbit yang dicas sepenuhnya
- Kit pertolongan cemas
- Alat pemadam api
- Segitiga amaran reflektif
- Kabel jumper
- Lampu suluh kalis air dengan bateri tambahan
- Sarung tangan
- Kain
- Tali tunda
- Duct tape
- Alat utiliti serba guna
- Baju hujan
Penjagaan kereta amat penting terutamanya dalam faktor keselamatan. Yalah! Siapa yang nak kereta rosak tengah-tengah jalan dan terpaksa membuang masa begitu sahaja?
Jadi, pastikan pemeriksaan kereta dilakukan dan jika terdapat kecurigaan terhadap kenderaan anda sebaiknya bertanyakan kepada mereka yang lebih tahu atau menghubungi ‘pomen’.
Semoga tip penjagaan kereta secara ringkas ini membantu anda menjalankan pemeriksaan kenderaan secara sendiri dengan mudah sebelum memulakan perjalanan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE