JOHOR BAHRU – Polis menahan sembilan individu disyaki terlibat dengan sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia 2018 melibatkan wang pertaruhan antara RM100,000 dan RM200,000, dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini mulai Khamis lepas sehingga hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kesemua lapan lelaki dan seorang wanita itu ditahan menerusi Op Soga dan kesemua mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan membuat dan menerima pertaruhan perlawanan bola sepak.
“Hasil serbuan, polis merampas komputer riba, beberapa buku kecil tercatit angka-angka serta jadual perlawanan bola sepak, sebuah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM31,196 serta mata wang Singapura SG$1,052 (1SG$=RM2.99)” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mohd Khalil berkata siasatan mendapati pertaruhan tersebut dipercayai menggunakan laman web www.ms88po.com, www.ag.ccbbet.com dan www.ultra88.com.
Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 17 hingga 58 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6 (3) akta sama.
Katanya polis Johor akan terus menjalankan risikan, pemantauan serta operasi untuk membanteras kegiatan perjudian pertaruhan bola sepak tersebut sehingga Piala Dunia 2018 berakhir. – BERNAMA