PELAKON popular, Aeril Zafrel membuat kejutan dengan menghadiahkan isterinya, Wawa Zainal kereta mewah Mercedes-Benz C200 yang dianggarkan bernilai berharga RM250,000.
Aeril berkata, hadiah itu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada Wawa kerana menjadi isteri dan ibu yang terbaik kepada dua anak mereka iaitu Ahmad Fakharuddin Attar dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan limpahan rezeki diberikan. Saya beritahu Wawa mengenai perkara ini dan minta dia pilih sendiri jenis kereta yang disukai.
“Lagi pula, kereta ini dia yang gunakan jadi memang kena ikut cita rasanya. Kalau saya main beli saja, nanti dia tidak suka pula. Merugikan dan membazir saja.
“Saya juga beli nombor kereta khas untuknya. Namun, hadiah ini masih tidak dapat balas segala jasa dan pengorbanan diberikan untuk saya, rumah tangga dan anak,” katanya dipetik Harian Metro.
Jelas pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu lagi, dia memilih kereta kerana ia jauh lebih berguna daripada barang lain dan pada masa sama turut menepis sangkaan orang ramai kononnya dirinya menunjuk-nunjuk atau bersikap riak.
“Saya tidak pasti jika ada beranggapan sedemikian. Namun, saya okey dan tidak mahu ambil peduli. Asalkan saya tidak mengganggu hidup mereka.
“Cuma, ingin dijelaskan saya bukan jenis sebegitu. Kalau perasan, selama ini mana pernah saya buat semua ini.
“Perkongsian ini sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada lelaki lain cara bagaimana untuk menghargai pasangan mereka,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC