KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi khas motosikal secara besar-besaran di seluruh negara bersempena Hari Raya Aidilfitri yang akan bermula pada malam ini sehingga esok malam.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata operasi khas itu adalah untuk memastikan penunggang motosikal memiliki lesen serta motosikal mereka boleh digunakan dengan selamat ketika pulang berhari raya.
Katanya motosikal adalah antara penyumbang kemalangan yang tinggi pada musim perayaan Aidilfitri setiap tahun.
“Pada tahun lepas sahaja kemalangan melibatkan motosikal sahaja dianggarkan sebanyak 60 sehingga 65 peratus dan ia agak membimbangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan bas ekspres dalam op hari raya di Terminal Bersepadu Selatan, Sungai Besi, di sini.
Shaharuddin berkata dalam tempoh dua minggu hari raya akan datang ini, JPJ akan bertugas 24 jam serta menempatkan pegawainya di 47 kamera awas di kawasan yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negara.
Selain itu, JPJ juga akan menempatkan anggota untuk menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi memantau pergerakan pemandu bas jika mereka melakukan kesalahan.
“Usaha ini adalah sebagai untuk memantau mereka (pemandu bas ekspres) jika memandu dalam keadaan mengantuk atau merokok ketika memandu boleh dikenakan saman apabila mereka tiba di destinasi,” katanya. – BERNAMA