PELAKON, Aiman Hakim Ridza mengakui tidak takut jika namanya disenarai hitam mana-mana pihak ekoran tindakannya menyuarakan rasa ‘tidak puas hati’ terhadap teknik penulisan drama.
Aiman yang sebelum ini dikenali menerusi drama Girlfriend Dari Neraka dan Isteri Separuh Masa mendakwa banyak skrip drama dihasilkan pada ketika ini tidak berkualiti dan seperti ‘sampah’.
Menurut pelakon berusia 29 tahun itu, dia juga bersedia bersemuka dengan penulis skrip untuk berbincang mengenai isu terbabit.
“Saya sudah enam tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air. Pada pemerhatian saya, banyak skrip drama yang dihasilkan teruk dan penulis tidak menghasilkan skrip yang sepatutnya memberi inspirasi pada penonton.
“Saya pernah bersuara mengenai isu skrip ini tetapi ia masih tidak berubah. Kini, sudah sampai masanya kita ke depan untuk membuat pembaharuan demi masa depan industri seni tanah air,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza Abdoh berkata, rata-rata skrip drama dihasilkan ketika ini lebih kurang sama sahaja.
Malah kata Aiman lagi, banyak skrip drama dihasilkan teruk, sambil lewa dan ‘membunuh’ industri seni.
“Sebenarnya, bukan pelakon yang kayu sebaliknya, penulis skrip dan pengarah yang kayu kerana mereka yang hasilkan cerita sedemikian,” ujar Aiman.
Justeru Aiman berkata, dia juga banyak menolak tawaran berlakon kerana skrip dihasilkan tiada kelainan sejak kebelakangan ini.
Disebabkan hal itu, wajahnya kini jarang muncul di kaca televisyen kerana bosan untuk ke lokasi drama di mana skripnya tiada inspirasi dan membunuh jiwa.
“Saya tidak akan sewenang-wenangnya terima apa saja skrip ditawarkan. Selalunya, saya akan berbincang dengan penulis skrip dan meminta mereka mengubah skrip itu dulu untuk menjaga kualiti karya dihasilkan.
“Pada masa sama, saya juga percaya ramai pelakon berdepan isu yang sama tetapi tiada pilihan kerana berlakon untuk menyara hidup,” katanya. – MYNEWSHUB.CC