PELANTIKAN Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor dikatakan tidak mendapat restu Pakatan Harapan (PH) dan hanya dipersetujui oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.
Menurut ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad yang turut disenarai pendek untuk memegamg jawatan itu, hanya beliau seorang sahaja yang mendapat persetujuan dalam semua parti di bawah PH.
“Saya ada sokongan semua parti dalam PH manakala Amirudin cuma mendapat restu Azmin Ali,” katanya memetik laporan portal Malaysiakini.
Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar yang diadakan di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Menguatkan lagi dakwaannya, doktor pakar sakit puan itu turut menunjukkan salinan surat sokongan terhadapnya yang ditandatangani oleh empat parti di bawah PH.
Surat-surat yang ditulis pada bulan Jun itu mengesahkan sokongan pimpinan PH terhadap Idris untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Azmin.
Surat sokongan tersebut ditandandatangani secara berasingan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari; Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.
Dalam pada itu, Idris berkata nama dua lagi calon yang disenarai pendek untuk jawatan itu, Amirudin dan ADUN PKR Seri Setia, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin hanya dikemukakan selepas pihak Istana Selangor meminta tiga nama calon.
Ujar Idris, pada asalnya nama beliau berada dalam kedudukan teratas untuk menggantikan Azmin yang mengambil tugas Menteri Hal Ehwal Ekonomi berbanding Amirudin dan Dr. Shaharuddin.
Bagaimanapun, Idris berkata Azmin bertindak sendirian dan seolah-olah tidak mahu beliau dilantik menjadi Menteri Besar Selangor.
“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, terdapat ura-ura dalam PH mahu saya menjadi Menteri Besar Selangor dan dua hari selepas kita menang serta dalam suasana gembira meraikan kemenangan itu, tiba-tiba calon Menteri Besar Selangor baharu pula telah diumumkan tanpa restu parti yang lain.
“Saya tidak mahu jadi gentleman lagi, beliau (Azmin) pergi ke sana secara sendiri.
“Hanya satu nama dicadangkan iaitu nama saya. Malah, saya mendapat restu daripada semua komponen PH dan surat itu telah dihantar kepada Sultan Selangor,” katanya seperti dipetik sebuah akhbar tempatan.
Jelas Idris, pelantikan jawatan tersebut melalui proses sama ketika Azmin dilantik menjadi menteri besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim apabila Istana Selangor meminta mengemukakan tiga nama calon.
Tambah Idris, beliau sedar peluangnya untuk menjadi menteri besar negeri itu yang baharu berakhir apabila beliau tidak dimaklumkan untuk hadir pada majlis istiadat angkat sumpah di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Sementara itu, Dr. Shaharuddin dalam satu kenyataan berasingan menyambut baik pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Berbeza dengan pendapat yang dikemukakan Idris, Dr. Shaharuddin mempertahankan kepimpinan Azmin sepanjang tempoh pemerintahan beliau di Selangor.
“Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam tempoh pemerintahan beliau memegang amanah sebagai Datuk Menteri Besar Selangor telah meletakkan asas yang cukup kukuh membangunkan negeri dan rakyat Selangor.
“Saya yakin berdasarkan pengalaman cemerlang di Selangor bahawa Dato Seri Mohammed Azmin Ali akan mampu menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk meningkatkan lagi potensi pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.
Isu ini jelas menunjukkan masalah dalaman yang dilalui PH apabila setiap parti dibawahnya tidak mempunyai persefahaman yang baik serta wujud kem perpecahan di dalamnya.
Seperti yang telah diketahui, perkara ini bukanlah sesuatu yang baru dan telah nampak tandanya sebelum PH menakluki Putrajaya pada pilihan raya umum yang lalu.
Justeru, keupayaan PH untuk mentadbir negara juga menjadi persoalan dalam kalangan rakyat memandangkan kerajaan negeri yang ditadbirnya juga mempunyai masalah dalaman. – MYNEWSHUB.CC