MARAN – UMNO sukar untuk ditewaskan jika setiap anggotanya mengamalkan prinsip persaudaraan dan kesetiaan seperti semangat perjuangan menentang Malayan Union dahulu.
Ketua Bahagian UMNO Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib mendakwa namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya menyebabkan UMNO tewas kerana sikap anggoya parti itu sendiri yang ‘membuka empang’ kepada lawan.
“Kembalilah bersatu dalam wadah UMNO kerana parti ini sangat berjasa kepada orang Melayu dan negara,” katanya berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Maran 2018 di Dewan UMNO Pekan Tajau hari ini.
Ismail bertanding mempertahankan jawatan Ketua Bahagian UMNO Maran ditentang timbalannya, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Beliau yang turut menawarkan diri dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO percaya pertandingan terbuka dalam semua jawatan mematangkan UMNO agar relevan sepanjang zaman. – BERNAMA