LAUSANNE – Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ‘Best’ untuk mengiktiraf pemain dan jurulatih lelaki, wanita terbaik akan berlangsung di London pada 24 September ini.
Anugerah sama turut berlangsung di London pada tahun lalu yang menyaksikan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dinobatkan selaku pemain terbaik lelaki bagi dua tahun berturut-turut sementara jurulatihnya, Zinedine Zidane dinamakan sebagai jurulatih terbaik.
Lieke Martens dan juga Sarina Wiegman, kedua-duanya dari Belanda masing-masing menggondol anugerah pemain wanita dan jurulatih wanita terbaik.
Seramai 10 calon bagi setiap anugerah akan diumumkan pada 23 Julai, lapan hari selepas berakhirnya saingan Piala Dunia di Russia.
Dengan bantuan menerusi undian daripada penyokong, hanya tiga calon akan disenarai pendek bagi setiap kategori.
FIFA akan turut mengumumkan anugerah bagi penjaga gol terbaik, anugerah ‘fair play’, anugerah penyokong terbaik, anugerah Puskas dan juga barisan kesebelasan utama terbaik (World 11). – Agensi