KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima bot nelayan Vietnam kerana menceroboh dan menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan negara, semalam.
Pengarah Maritim Kuala Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata tangkapan itu dilakukan pada 6 hingga 9 pagi di lima lokasi berbeza, di antara 50 dan 70 batu nautika dari muara Sungai Terengganu.
Beliau berkata kelima-lima bot berkenaan yang dipercayai masuk secara berkumpulan ditahan selepas pihaknya menerima aduan daripada nelayan tempatan mendakwa diganggu ketika menjalankan aktiviti mencandat sotong.
“Terdapat enam bot kesemuanya tetapi satu berjaya melepaskan diri. Oleh kerana nelayan Vietnam ini menggunakan pukat tunda jenis ganding, mereka memerlukan dua bot di mana satu bot berfungsi sebagai bot utama menyimpan hasil manakala satu lagi sebagai pengiring.
“Mereka menggunakan nombor pendaftaran tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa tetapi tidak berjaya kerana kita sudah arif dengan taktik sebegitu,” katanya kepada pemberita di Pejabat DM 9 di sini hari ini.
Turut ditahan 55 awak-awak termasuk tekong berusia antara 15 dan 55 tahun. Nilai rampasan termasuk lima bot, 11 tan hasil tangkapan dan 12,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM5 juta, katanya.
Rahim berkata kegiatan pencerobohan di perairan negara khasnya di Terengganu semakin kerap disebabkan wujudnya orang tengah atau ejen dalam kalangan orang tempatan yang tamak dan mahu mengaut keuntungan secara mudah.
Beliau berkata ejen tersebut yang mahir dengan selok-belok perairan Terengganu akan memberi maklumat lokasi tepat kepada nelayan Vietnam untuk masuk dan sebagai habuan mereka akan dibayar sehingga mencecah ribuan ringgit.
“Hasil siasatan kami mendapati ejen ini akan memberi maklumat kepada ‘tauke’ bot di Vietnam dan dia pula akan mengarahkan tekong untuk masuk ke mana-mana lokasi di perairan Terengganu yang ditetapkan.
“Malah siasatan lanjut juga mendapati ada antaranya memiliki kedua-dua lesen menangkap ikan, dari Malaysia dan Vietnam. Perkara ini akan disiasat dengan lebih mendalam kerana menyalahi undang-undang,” katanya.
Rahim berkata kegiatan pencerobohan nelayan asing juga agak tinggi di Terengganu berbanding Kelantan dan beberapa negeri lain kerana adanya pelantar minyak yang menjadi tempat pembiakan ikan (tukun). – BERNAMA