AURA… Cristiano Ronaldo mendapat semangat ‘luar biasa’ selepas kekasihnya, Georgina Rodriguez turun menyaksikan aksi Piala Dunia membabitkan Portugal menentang Maghribi di Stadium Luzhniki, semalam.
Rodriguez menyaksikan Ronaldo menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit keempat, sekali gus membolehkan pasukannya meraih mata penuh dan berada di landasan tepat untuk mara ke pusingan kedua.
Rodriguez nyata bersemangat sepanjang perlawanan itu yang menyaksikan dia turut menyarung jersi Portugal meskipun gadis tersebut dilahirkan di Argentina.
Jersi yang dipakai Rodriguez sudah tentulah jersi yang tertera nama pemenang anugerah berprestij Ballon d’Or sebanyak lima kali itu dan juga nombor tuah 7.
Rodriguez turut menghangatkan lagi khabar angin yang menyatakan dia sudah bertunang dengan bintang Real Madrid itu selepas menayangkan cincin dengan berlian yang besar di jari kirinya.
Ia bukanlah aksi terbaik Portugal, namun kemenangan itu adalah satu petanda positif buat pasukan itu selepas sekadar terikat 3-3 menentang Sepanyol sebelum ini.
Ronaldo meledak seawal minit keempat selepas melepasi kawalan Karim El Ahmadi dan menewaskan penjaga gol Maghribi, Munir Mohamedi menerusi satu ‘tandukan terbang’.
Mereka kini berada pada kedudukan yang baik untuk mara ke pusingan kalah mati apabila menghimpun empat mata daripada dua perlawanan, namun perlu berdepan Iran yang mengutip tiga mata pada aksi terakhir peringkat kumpulan. – Agensi (Daily Mail)