APA lagi boleh dikatakan. Nampaknya badi juara terus ‘melekat’ sekali gus menjadikan empat juara daripada lima edisi Piala Dunia terakhir, tersingkir di peringkat kumpulan.
Malam tadi, mangsa terbaharu adalah Jerman. Skuad Die Mannschaft sering kali menjadi pasukan pilihan dalam mana-mana kejohanan peringkat tertinggi tidak kiralah Piala Dunia atau Kejohanan Eropah.
Namun, status itu seolah-olah tidak kelihatan dalam edisi kali ini sejak mulanya perlawanan pertama menentang Mexico lagi. Jerman jelas tidak bermain seperti kebiasaan dengan gaya permainan yang mudah dibaca lawan.
Perlawanan terakhir menentang Korea Selatan untuk Kumpulan F sekali lagi menyerlahkan kegagalan skuad Jerman bermain dengan begitu baik sebagai mana Piala Dunia 2014 di Brazil.
Selepas menewaskan Sweden menerusi gol saat akhir, perlawanan penentuan ini sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk mencari sebanyak gol yang boleh.
Jerman tahu bukannya mudah apatah lagi sudah lebih lapan bulan mereka tidak merasai nikmat kemenangan berturut-turut.
Skripnya masih sama, malah kerap kali berulang. Jerman mengawal perlawanan, sehingga 70 peratus penguasaan bola, namun tidak dapat menghasilkan gol.
Apa yang tidak kena pada skuad kali ini? Mungkin ketiadaan penggempur mengisi legasi ditinggalkan penyerang legenda, Miroslav Klose menjadi satu daripada faktornya.
Namun begitu, masalah itu bukanlah satu-satunya yang dihadapi Die Mannschaft. Tiada variasi serangan yang hanya memberi tumpuan kepada pemain di bahagian sayap turut menjadi penyebab utama.
Kepelbagaian hantaran bukanlah jadi sesuatu yang asing kepada Jerman tetapi tempo permainan lebih perlahan dan lebih banyak bersabar menanti ruang terbuka membuatkan pasukan itu agak membosankan penonton.
Joachim Loew juga patut diletakkan bebanan kesalahan. Pemilihan pemain apabila tidak membawa Leroy Sane yang cemerlang bersama Manchester City sukar dipercayai.
Taktikal agak ‘rigid’ dan tiada pembaharuan mungkin kerana sudah lama bimbing skuad itu juga satu lagi penyebab. Korea Selatan menang menerusi Kim Young-Gwon (90’+2 minit) dan Son Heung-Min (90’+6 minit).
Apa sahaja penyebab boleh dicari tetapi yang pasti Jerman tetap telah tersingkir. Selepas berjaya menjadi pasukan benua Eropah pertama menjulang trofi di Amerika Selatan, kini satu lagi sejarah baharu dicipta Die Mannschaft.
Namun begitu, sejarah kali pertama tersingkir dalam peringkat kumpulan Piala Dunia sejak tahun 1938 bukanlah sesuatu yang mahu diingati selamanya.
Kejohanan Eropah 2020 seharusnya jadi titik permulaan kebangkitan Jerman. Selamat malam Berlin, Auf Wiedersehen Deutschland. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA