PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan akan membuat pembelian diesel baharu sebagai langkah segera untuk menyelesaikan masalah penjanaan kuasa elektrik di sekolah-sekolah di Sarawak.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Kewangan juga telah mempertimbangkan urusan pembelian ini.
“Peruntukan akan diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan segera agar pembelian ini boleh dibuat.
“Saya akan pastikan bahawa bekalan diesel dapat disampaikan kepada sekolah- sekolah yang berkaitan secepat mungkin sebelum para pelajar kembali ke sekolah selepas cuti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan itu, Maszlee berkata beliau telah maklum mengenai masalah elektrik yang dihadapi oleh sekolah-sekolah tertentu di Sarawak.
Beliau berkata sekolah-sekolah ini sepatutnya mendapat bekalan diesel daripada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd tetapi syarikat berkenaan telah gagal menyediakan bekalan yang sewajarnya.
Pada 11 Jun, Maszlee berkata Kementerian Pendidikan telah memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.
Terdapat 369 sekolah di Sarawak yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.
Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.
Bermula 1 Jan 2017, Jepak Holding yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Dis 2019 dengan nilai ‘melebihi RM1 bilion’ termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Laporan sebuah portal sebelum ini, menyebut mengenai kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus dibawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.
Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.
Sebelum ini, SPRM berkata ia telah menjalankan siasatan awal terhadap isu itu pada April lepas setelah menerima maklumat daripada orang awam.
Susulan itu, SPRM telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan daripada Kementerian Pendidikan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta SPRM 2009 bagi diteliti sama ada ia mengandungi unsur rasuah. – BERNAMA