NASI merupakan makanan ruji masyarakat Malaysia dan telah sinonim dengan diet yang diamalkan oleh rakyat berbilang bangsa negara ini terutamanya kaum Melayu.
Bagaimanapun, jarang sekali untuk penduduk negara ini menggunakan nasi merah dalam pemakanan harian mereka sebaliknya lebih selesa makan nasi putih biasa.
Ini kerana, rakyat Malaysia kebiasaannya menggunakan beras putih dalam masakan mereka dan jarang sekali menggunakan beras merah untuk memasak nasi.
Untuk pengetahuan, beras merah dikatakan lebih banyak manfaat dan khasiat jika dibandingkan dengan beras putih biasa. Rasa beras merah memang dianggap lebih hambar tetapi sangat menyihatkan.
Beras merah adalah sejenis beras yang mengandungi vitamin B dan E. Beras merah memiliki banyak khasiat yang baik untuk kesihatan tubuh serta boleh menyembuhkan beberapa penyakit.
Malah, pengambilan beras merah juga baik untuk mengatasi stres sekali gus mengendurkan otot yang tegang.
Ini kerana terdapat zat-zat seperti kandungan mineral yang tinggi, vitamin serta serat semulajadi dalam beras jenis ini.
Menurut satu kajian dari Amerika Syarikat yang dibentangkan di Persidangan Tahunan Eksperimen Biologi, hanya dua jenis beras yang ada khasiat untuk cegah risiko serangan jantung serta tekanan darah tinggi iaitu beras setengah giling dan beras merah.
Anda yang berhasrat untuk menurunkan berat badan, di sini kami kongsikan beberapa khasiat beras merah untuk diet anda:
1. Menurunkan kolesterol
Beras merah mengandungi minyak yang mampun berfungsi menangani kolesterol jahat. Anda yang sedang menjaga diet pemakanan disaran mengambil bijirin oat atau beras merah pada setiap pagi sewaktu sarapan.
2. Mengandungi vitamin B-6
Vitamin B-6 membantu tubuh anda untuk menjalankan fungsi organ dalaman dengan baik. Ini kerana, vitamin B-6 mengandungi khasiat dalam menjaga keseimbangan daripada pembentukan hormon serotonin, sel DNA serta sel darah merah.
3. Kadar zink yang tinggi
Zink merupakan mineral yang berfungsi dalam penyembuhan luka selain menjaga sistem pertahanan tubuh agar dapat berjalan dengan baik.
Di samping itu, zink juga merupakan antioksidan yang mampu melindungi tubuh daripada radikal bebas yang merosakkan sel.
4. Serat tinggi
Serat adalah nutrisi yang sangat diperlukan dalam proses penurunan berat badan. Tanpa serat, anda akan berterusan berasa lapar dan sukar untuk berasa kenyang.
Oleh itu, anda disarankan mengambil beras merah setiap kali letika sarapan pagi supaya perut anda boleh menahan lapar hingga ke petang.
5. Kadar indeks glycemic yang rendah
Salah satu makanan yang mempunyai karbohidrat kompleks merupakan beras merah. Ia memiliki tahap indeks glycemic rendah yang berguna untuk mengawal kadar gula darah dan pengeluaran insulin.
Selain itu, beras merah juga berupaya meningkatkan tenaga untuk memaksimumkan kesihatan badan anda.
KHASIAT BERAS MERAH UNTUK BAYI
Dalam pada itu, selain mempunyai khasiat yang tinggi serta keupayaannya menurunkan berat badan, beras merah juga memberikan kesan baik kepada anak kecil.
Antara khasiat beras merah untuk anak kecil adalah:
1. Membuatkan bayi anda tidur lebih lena
Zat tepung yang terdapat di dalam beras merah dapat meningkatkan serotonin di dalam otak di mana ia berfungsi untuk membantu anak anda untuk tidur.
Manakala kandungan indeks glycemic yang rendah juga dapat membantu mengatur kadar gula yang ada di dalam darah.
Dengan memberikan anak kecil anda beras merah, mereka akan tidur dengan lebih nyenyak dan tidak mudah terjaga dari tidur pada waktu malam akibat kelaparan.
2. Mencegah sembelit
Beras merah memiliki kandungan serat yang tidak boleh larut di dalam air. Justeru, pengambilan beras merah dapat mencegah sembelit.
Anda disarankan untuk memberikan anak anda nasi merah setiap kali mereka mengalami masalah sukar untuk membuang besar.
Serat beras merah akan membantu menyerap air sehingga najis itu menjadi lebih lembut dan mudah untuk dikeluarkan. Pengambilan nasi merah juga boleh membuat anak anda menjadi lebih sihat. – MYNEWSHUB.CC