NAMANYA mungkin masih janggal didengar dalam dunia nyanyian, tetapi Isa Khan merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia 2016 sebelum dia dikenali sebagai seorang pelakon.
Menurut Isa atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, dia sedang dalam perancangan untuk memperlahankan seketika aktiviti lakonannya kerana mahu memberi lebih perhatian kepada bidang nyanyian.
Sebelum ini, penyanyi berusia 25 tahun itu pernah tampil dengan single pertama berjudul Syurga Yang Percuma tetapi dia dikatakan agak terkilan kerana usahanya itu kurang dapat perhatian ekoran promosi yang terbatas.
“Jiwa saya lebih cenderung kepada nyanyian, malah langkah saya juga bermula sebagai penyanyi. Mungkin rezeki untuk menyerlah dalam bidang itu belum tiba, sebaliknya nama saya lebih dikenali sebagai pelakon.
“Atas alasan itu, saya berhasrat untuk bercuti sebentar daripada lakonan dan memberi perhatian kepada penerbitan single kedua. Saya tidak mahu single itu mengalami nasib yang sama seperti usaha pertama,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Isa yang merupakan adik kepada pelakon terkenal di Indonesia iaitu Miller Khan turut mengakui kerana kesibukannya dalam menjalani penggambaran drama Bimbi dan Bonni selama dua bulan sebelum ini menyebabkan dia kurang memberi masa kepada singlenya itu.
“Saya langsung tiada masa untuk membuat promosi menyebabkan kehadiran single itu dipandang sepi.
“Belajar daripada kesilapan itu, saya mahu fokus kerana saya juga ingin kerjaya nyanyian bergerak seiring,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, sepanjang tahun 2018, Isa turut mengakui bahawa rezekinya agak murah kerana mendapat banyak tawaran berlakon sekepas kemunculannya dalam drama Bimbi dan Bonni itu.
https://www.instagram.com/p/BhdNnLpD6vR/?taken-by=theisakhan
Oleh itu, dia turut bercadang untuk mengadakan rumah terbuka bersama keluarganya di Cheras dekat ibu negara.
“Sebelum ini, saya tidak pernah mengadakan rumah terbuka. Lagipun, sejak ayah meninggal dunia beberapa tahun lalu, kami tidak lagi teruja menanti kedatangan Aidilfitri. Apatah lagi, dua abang saya kini menetap di Indonesia.
“Hanya saya dan kakak bersama-sama ibu di sini. Jadi, sambutan raya kami tidak terlalu meriah. Cuma, tahun ini, saya tergerak hati rai mereka yang banyak bantu perjalanan kerjaya. Insya-Allah, saya akan cari masa untuk melunaskan niat itu,” ujarnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH