LANGKAWI – Lebih ramai pelancong dijangka menaiki Langkawi SkyCab, sebuah sistem kereta kabel yang dikendalikan oleh Panorama Langkawi Sdn Bhd di sini tahun ini, meskipun berlaku satu insiden kerosakan sistem kereta kabel berkenaan pada Februari lepas.
Pengarah Panorama Langkawi Datuk Azizan Noordin berkata perjalanan menaiki kereta kabel yang menjadi tarikan utama pelancong di pulau ini sejak lebih 15 tahun lepas, disasarkan untuk menerima 1.5 juta pengunjung berbanding 1.2 juta yang direkodkan tahun lepas.
“Berdasarkan bilangan pelancong yang datang selepas kejadian itu Februari lepas, ternyata ia tidak memberi sebarang kesan negatif dan tidak menghalang pelancong daripada terus menaiki kereta kabel itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran Panorama Langkawi malam tadi.
Dalam kejadian 18 Februari itu, seramai 1,048 pelancong dan 78 kakitangan terkandas di puncak gunung serta di dalam kereta kabel apabila sistem mengalami kerosakan. Bagaimanapun, kesemua mereka selamat dibawa turun kira-kira tujuh jam kemudian.
Beliau berkata sejak kejadian itu, selain menggantikan bahagian dan kabel yang rosak, penyelenggaraan menyeluruh dilakukan oleh pembekal sistem, Doppelmayr Garaventa Group dari Austria.
Menurut Azizan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) iaitu badan induk kepada Panorama Langkawi, ciri-ciri keselamatan tambahan seperti kemudahan telekomunikasi dan papan tanda keselamatan dalam pelbagai bahasa turut diadakan.
Beliau berkata sehari selepas kejadian itu, kira-kira 6,000 orang mendaftar untuk menaiki kereta kabel berkenaan dan angka itu terus berada dalam lingkungan sama dalam tempoh beberapa bulan seterusnya.
“Kami juga merancang untuk membawa sistem hiburan sebagai tarikan tambahan kepada perjalanan menaiki kereta kabel dan kami akan terus menaik tarafnya untuk memenuhi piawaian keselamatan tertinggi,” katanya.
Sebagai sebuah produk yang telah menarik pelancong terbesar ke Langkawi sejak beberapa tahun lepas, beliau berkata Langkawi SkyCab akan terus menjadi pengukur bagi menilai minat pelancong dan untuk menerajui promosi produk lain di pulau ini.
“Tahun lepas, pelancong luar dari China, India dan negara Timur Tengah menyumbang 60 peratus kepada kadar penumpang. Kami berhasrat untuk meningkatkannya kepada 70 peratus tahun ini melalui promosi berterusan kami,” katanya. – BERNAMA