PROTES… UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor mendesak kerajaan negeri segera membantah usaha penarikan balik semakan kehakiman ke atas Pulau Batu Puteh oleh pihak kerajaan pusat.
Justeru, mereka hari ini bertindak mengadakan perhimpunan secara aman di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar, Seri Iskandar bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap isu keputusan aneh berkenaan.
Penyerahan memorandum itu yang turut berkaitan dengan permohonan tafsiran semula penghakiman berhubung status Tubir Selatan (South Ledge) diserahkan oleh Ketua Pembangkang Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Turut hadir ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat serta bekas Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, R. Vidyanathan.
Memorandum bantahan tersebut kemudian diterima oleh wakil Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian iaitu Setiausaha Sulit I, Ambok Nani Muhamad Nor dan Setiausaha Sulit II, Mohammad Nafis Abdul Razak.
Terdahulu, ketiga-tiga mereka bersama-sama sekumpulan Bangsa Johor berhimpun secara aman dengan memegang kain rentang tertera ‘Pedra Branca – Mengalah atau Kautim, Bangsa Johor mahu mempertahankan Pedra Branca’.
Juga ‘Kedaulatan Johor Kedaulatan Malaysia Itu Hak Kami’ dan ‘HSR Batal, Pedra Branca Tarik Balik – Di mana Maruah Bangsa Johor’. Sebelum ini, bekas menteri besar, Datuk Khaled Nordin turut kritik sikap kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Hasni berkata, mereka menuntut kerajaan negeri mendesak kerajaan Persekutuan menarik balik keputusan membatalkan permohonan kepada ICJ berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan.
“Kita juga menuntut Menteri Besar dan kepimpinannya untuk tidak memperbodohkan rakyat dan hanya mengambil sikap berdiam diri serta berpeluk tubuh menyaksikan kehilangan kedaulatan negeri ini,” katanya lagi.
Baca: Singapura Gembira Malaysia Setuju ‘Gadai’ Batu Puteh
Juga: Isu ‘Gadai’ Batu Puteh – Mana Suara MB Baharu Johor?
Berikut kenyataan penuh memoradum bantahan tersebut:
Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.
Adalah kami, dengan ini mengemukakan Memorandum Bantahan berkaitan:
1) Permohonan semakan penghakiman 2008 oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan,
2) Permohonan tafsiran penghakiman berkenaan status Tubir Selatan (South Ledge) diteruskan.
Memorandum ini dibuat dengan penuh rasa kesedaran dan tanggungjawab sebagai warga Malaysia yang mahukan kedaulatan negara tetap terus terpelihara sampai bila-bila.
Ia juga dibuat berlandaskan:
Bahawa pada 30 Mei 2014, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan agar rayuan dibuat ke atas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Titah tersebut turut senada sebagaimana yang pernah dititahkan oleh almarhum ayahanda baginda, DYMM Sultan Iskandar Sultan Ismail pada ketika hayatnya bahawa Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah milik Johor dan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor.
Ia adalah hak milik dan kedaulatan negara. Dua perkara yang tidak ada galang gantinya dan menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk mempertahankan setiap inci tanahair ini.
Pengorbanan generasi terdahulu dalam meraih kemerdekaan tanah air telah dilakukan dengan bayaran nyawa dan darah. Pengorbanan itu kini jadi sia-sia kerana kerajaan hari ini sekadar berpeluk tubuh dan menyerahkan kemerdekaan dan kedaulatan negara kepada sebuah negara asing.
Suara Bangsa Johor dibiarkan begitu sahaja. Tanpa didengari. Tanpa dirunding terlebih dahulu. Di manakah kelantangan dan kredibiliti sebuah kerajaan negeri yang dikatakan mewakili rakyat dalam mempertahankan kedaulatan negeri dan negara?
Dalam tempoh yang terlalu singkat, tidak sampai sebulan memimpin sebuah negeri dan negara, kerajaan hari ini telah membuta tuli bersetuju dan menzahirkan kedangkalan mereka dalam soal sebegini penting.
Beginikah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan kompeten? Beginikah sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat dan tanahair?
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menetapkan untuk mendengar permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman berhubung kedaulatan tuntutan negara, dari 18 hingga 22 Jun ini.
Kebenaran permohonan itu diberikan berdasarkan bukti-bukti baru yang telah dikemukakan oleh kerajaan Johor dan persekutuan sebelum ini.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa batuan itu pernah menjadi milik Kesultanan Johor yang berdaulat. Fakta itu disokong oleh pihak ICJ apabila ia menolak hujahan Singapura bahawa pulau tersebut adalah tanah tidak bertuan (terra nullius).
Namun, kerajaan tidak mendedahkan asas serta alasan untuk tidak meneruskan proses rayuan itu. Kerajaan telah memaklumkan ICJ pada 28 Mei 2018 bahawa ia tidak akan meneruskan prosiding yang dimulakannya sebelum ini. Perkembangan itu telah dimaklum dan dipersetujui oleh pihak Singapura.
Rakyat berhak untuk tahu apakah asas-asas rundingan di antara semua pihak yang terlibat sehingga keputusan sedangkal melepaskan tuntutan itu akhirnya dicapai.
Kerajaan negeri Johor perlu sedar bahawa setiap tindakannya mestilah mewakili suara Bangsa Johor dan mempunyai pendirian yang teguh dalam isu-isu berkaitan negeri Johor.
Apa yang pasti, kerajaan telah berjaya mencipta satu precedent aneh dalam hubungan diplomatik antarabangsa serta catatan sejarah paling buruk pernah direkodkan semenjak tanahair melepaskan kedaulatannya, Singapura pada tahun 1965.
Ini tentunya akan menjadi satu lagi bahan gurauan kepada rakyat serantau dan masyarakat dunia.
Akan termaktublah dalam catatan sejarah dunia tentang kedangkalan sebuah negara bangsa akibat kerajaan yang baru berusia kurang 20 hari pemerintahannya tetapi sudah berjaya memperdagangkan kedaulatan dan maruah negaranya.
Seluruh rakyat khususnya Bangsa Johor sedar bahawa sebarang wilayah, walau kecil sekelumit mana sekalipun, wajib dijaga dan dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Wang ringgit sesekali tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menuntut hak serta kedaulatan tanahair.
Seperti juga yang pernah ditulis Tun Mahathir pada 31 Julai 2008, iaitu sebelum beliau kembali menjadi Perdana Menteri, bahawa keputusan terletak di atas bahu kita semata-mata dan beliau tidak akan cuba meneka apa yang akan diputuskan (oleh kerajaan kita) pada ketika itu.
Benarlah kenyataan itu. Bahawa hari ini dan sehingga ke saat ini, sekalian rakyat tidak akan mampu meneka apakah yang berada dalam benak fikiran Perdana Menteri kali kedua itu apabila beliau membenarkan penguguran tuntutan tanahair ke atas kedaulatannya negara yang kembali dipimpinnya ini.
Maka atas sebab-sebab yang disebutkan tadi, kami mewakili semua yang hadir pada hari ini serta seluruh rakyat khasnya Bangsa Johor yang mahukan keadilan, tanggungjawab dan penjelasan, MENUNTUT:
1) KERAJAAN NEGERI JOHOR mendesak Kerajaan Persekutuan menarik balik keputusan membatalkan permohonan kepada ICJ berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan;
2) Kerajaan Negeri memberikan PENJELASAN sejujur jujurnya kepada Bangsa Johor mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan membatalkan permohonan kepada ICJ;
3) YAB MENTERI BESAR Johor dan barisan kepimpinannya mempunyai pendirian yang jelas demi seluruh Bangsa Johor dan bukannya menjadi barisan boneka serta Pak Turut kepada kerajaan pusat semata-mata;
4) YAB MENTERI BESAR serta barisan kepimpinannya untuk segera belajar sejarah Johor serta hal ehwal setiap inci kedaulatan tanah dan jajahan takluk Johor Darul Takzim;
5) YAB MENTERI BESAR dan barisan kepimpinannya untuk tidak memperbodohkan rakyat dengan hanya memberi alasan “kurang arif” mengenai sejarah Johor;
6) YAB MENTERI BESAR dan barisan kepimpinannya untuk tidak hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh menyaksikan kehilangan kedaulatan negeri Johor serta sentiasa berpegang kepada prinsip Johor Tetap Jadi Johor;
7) YAB MENTERI BESAR dan barisan kepimpinannya untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas sebarang kegagalan untuk meneruskan prosiding rayuan berkaitan penghakiman asal ICJ pada 2008 dalam kes membabitkan kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Kami mewakili semua yang hadir pada hari ini serta seluruh rakyat, terutamanya Bangsa Johor MENUNTUT agar setiap tuntutan ini diberikan JAWAPAN TUNTAS DAN SEGERA.
Kepada Allah Berserah
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.