SONGKHLA – Seorang lelaki Thailand didakwa atas empat tuduhan bunuh dan menyembunyikan mayat bekas isterinya yang kaya, yang dipercayai dibakar sebelum abu mangsa ditaburkan di kawasan paya berhampiran Hat Yai untuk menutup perbuatan itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Jeneral Wirachai Songmetta berkata, Kritsada ‘Roj’ Maikhao, 49, menafikan semua tuduhan membabitkan kehilangan bekas isterinya, Pinyada Paenchan, 48.
Kritsada juga didakwa atas tuduhan menutup pembunuhan dan mencuri. Menurut Bangkok Post, Pinyada kali terakhir dilihat pada 23 Mei lalu dan sisa abu serta tulangnya ditemui di kawasan berkenaan beberapa hari lalu.
Nation Multimedia memetik Wirachai berkata, Pinyada dipercayai diserang di rumahnya dan kehilangan banyak darah. Dia kemudian dibawa dari situ menaiki kereta Mercedes-Benz C200 miliknya.
Namun tidak diketahui ketika itu sama ada dia hidup atau mati. Kritsada menyerah diri Ahad lalu selepas mahkamah daerah mengeluarkan waran penangkapannya. Tapi, lelaki itu dilaporkan enggan memberi keterangan.
Menurut jiran mereka, pasangan itu masih tinggal sebumbung walaupun sudah bercerai. Krissada dan Pinyada didengar bertengkar pada malam 23 Mei lalu sebelum lelaki terbabit dilihat mencuci kereta Mercedes milik bekas isterinya pada jam 4 pagi keesokannya. – Agensi/BH ONLINE