ALOR SETAR – Calon yang bertanding untuk jawatan tertinggi sebagai presiden UMNO perlu terlebih dahulu menilai kemampuan diri masing-masing dan bukan hanya bertanding untuk menjadi ketua semata-mata.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mereka ini perlu menggalas tanggungjawab yang besar sekiranya dipilih memegang jawatan nombor satu parti itu.
Justeru, jawatan berkenaan perlu dipimpin oleh mereka yang berpengalaman tinggi bagi mengembalikan kekuatan parti serta kepercayaan rakyat.
“Ahli biasa yang bertanding jawatan Presiden wajar memberi laluan kepada calon tertentu sahaja yang mempunyai kriteria sebagai pemimpin, mereka perlu lihat di mana level dan siapa mereka.
“Jika semua mahu bertanding jadi masalah juga, memang kita sudah mengamalkan dasar terbuka tapi kita perlu juga tengok kemampuan diri,” katanya memetik laporan BH Online.
Bagaimanapun, Mahdzir yang merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah menyifatkan bahawa parti tersebut sentiasa bersifat terbuka sekiranya ia dipimpin oleh orang muda.
Jelasnya, UMNO mengalu-alukan pemimpin muda berpengalaman untuk mengemudi parti asalkan mereka mampu memberi nafas baharu terhadap parti keramat Melayu itu.
Katanya, calon-calon yang telah mengumumkan kepada umum akan bertandiong jawatan itu pada pemilihan parti pada hujung bulan ini adalah calon pemimpin yang berkaliber dan mempunyai kelebihan masing-masing.
Calon yang telah mengumumkan bertanding jawatan presiden UMNO adalah pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Semalam, pihak media melaporkan bahawa tujuh borang pencalonan diterima bagi pemilihan jawatan Presiden UMNO selepas waktu serahan borang tamat pada jam 5 petang.
Jelas Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pemilihan kali ini mencipta sejarah apabila menarik penyertaan ramai calon berikutan dasar UMNO yang mengamalkan pemilihan parti secara terbuka. – MYNEWSHUB.CC