PEMAIN nombor enam badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei mahu merealisasikan impiannya mencipta pencapaian luar biasa sebelum bersara.
Jaguh perseorangan badminton negara itu mengakui saingan Terbuka Malaysia yang bermula Selasa ini adalah salah satu misi peribadinya tahun ini bagi memburu gelaran ke-12.
“Terbuka Malaysia memang penting untuk saya, lagi pun ia berlangsung di negara sendiri. Bukan senang untuk menjadi juara sebanyak 11 kali dalam kejohanan ini dan saya mahu pecahkan rekod sendiri menjadikan sesuatu yang mustahil untuk pemain lain mengatasinya.
“Jika turun gelanggang memang semua orang mahu menang tetapi bagaimana kita lakukan persiapan. Semua pemain utama menyertai kejohanan kali ini dan tahun lalu saya mara ke final, harap boleh berikan yang terbaik kali ini.
“Kejohanan ini banyak kenangan manis untuk saya dan saya akan cuba menang kali ke-12 untuk kekal memegang rekod,” kata Chong Wei pada Berita Harian selepas sesi latihan di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.
Penampilan pertama Chong Wei bakal menentang pemain dari Jepun, Kazumas Sakai yang dijadualkan pada Rabu ini.
Pemain berusia 36 tahun itu juga berharap peminat-peminat badminton dapat hadir ke stadium memberi sokongan pada dirinya yang membawa nama Malaysia.
Chong Wei juga yakin waktu perlawanan telah disusun baik oleh pihak penganjur supaya tidak bertembung dengan waktu perlawanan Piala Dunia.
“Kita tidak boleh ramal sama ada peminat akan hadir atau tidak kerana kita tahu Piala Dunia berlangsung empat tahun sekali dan ramai orang termasuk saya menantikannya.
Namun, saya percaya pihak penganjur akan melakukan yang terbaik untuk menarik penonton,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC