KUALA LUMPUR – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mudah mara ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2018 yang berlangsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil hari ini.
Chong Wei tidak berdepan masalah menundukkan pencabarnya, Kazumasa Sakai dari Jepun dengan kemenangan straight set 21-13, 21-10 dalam masa 33 minit pada perlawanan pembukaan perseorangan lelaki itu.
Menanti beliau pada perlawanan seterusnya adalah pemain berpengalaman Lee Hyun Il dari Korea Selatan yang mengalahkan Suppanyu Avihingsanon, 21-18, 21-13.
Chong Wei yang merupakan juara 11 kali Terbuka Malaysia, berkata beliau akan sentiasa berhati-hati beraksi di pusingan pertama kerana pemain muda yang disifatkan lebih bertenaga akan memberi kejutan kepada pemain berpengalaman.
“Saya berpuas hati dengan aksi hari ini, pusingan pertama dalam mana-mana kejohanan bukan mudah kerana pemain muda atau pemain bukan pilihan lebih bertenaga dan mereka sering membuat kejutan, jadi saya perlu fokus untuk mendapatkan mata dengan cepat.
“Kini, pemain muda adalah pencabar utama saya. Beraksi di laman sendiri, sebagai tuan rumah, saya perlu bermain lebih baik di hadapan penyokong. Saya berharap pada perlawanan seterusnya saya dapat tampilkan aksi lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.
Turut mengikut jejak langkah Chong Wei adalah pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang menewaskan Pai Yu Po dari Taiwan, 21-13 dan 21-17 pada aksi pusingan pertama.
Jin Wei dijangka berdepan pemain pilihan ketujuh Sung Ji Hyun dari Korea Selatan atau pemain Indonesia Fitriani pada pusingan seterusnya itu.
Namun nasib tidak menyebelahi dua wakil beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lain dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila kedua-dua pasangan itu tersingkir pada pusingan pertama.
Goh-Shevon tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, 21-18, 15-21, 14-21 manakala Tan-Lai kalah kepada pasangan pilihan kelima Zhang Nan-Li Yinhui dari China, 8-21, 12-21.
Turut tersingkir satu lagi beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tewas kepada pasangan Taiwan, 22-24 dan 9-21. – BERNAMA