DASAR Komuniti Negara yang bakal dirancang tidak lama lagi oleh kerajaan bagi menyentuh masalah pembaziran makanan yang sedang berlaku di Malaysia.
Lapor akhbar tempatan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberitahu, dasar tersebut akan memuatkan pelan tindakan komprehensif pembangunan komuniti di Malaysia.
Katanya, idea mahu merancang dasar tersebut ekoran daripada cadangan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow agar Akta Pembaziran Makanan diwujudkan di negara ini.
“Kementerian peka terhadap masalah pembaziran makanan yang sedang berlaku di Malaysia terutamanya semasa musim perayaan.
“Cadangan daripada beberapa pihak berkenaan penubuhan Akta Pembaziran Makanan akan dikaji dengan lebih teliti dari pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zuraida lagi, inisiatif itu bagi mengatasi budaya pembaziran dalam kalangan rakyat di negara ini terutamanya yang dilihat banyak berlaku sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Jelasnya, penekanan harus diberikan bukan hanya dari sudut polisi dan dasar tetapi turut ditekankan pada keberkesanan akta tersebut untuk dikuatkuasakan.
Pihaknya akan melihat pelaksanaan undang-undang berkenaan pembaziran makanan di negara maju seperti Perancis sebagai rujukan.
“Pada masa yang sama, rakyat Malaysia harus menerima pendidikan yang secukupnya tentang penjimatan bahan makanan sekali gus dapat membantu mengurangkan pembaziran secara menyeluruh dan praktikal,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan lagi bagaimana reka bentuk pelaksanaan dan intipati dasar tersebut lebih terperinci.
Boleh jadi dasar ini ‘hangat-hangat tahi ayam’ ataupun berjaya ditubuhkan namun tiada pemantaun serta penguatkuasaan jika tidak dilaksanakan sebaiknya.
Kesudahannya hal yang sama akan berlaku dan kadar pembaziran di Malaysia tidak menunjukkan gambaran yang positif. – MYNEWSHUB.CC