SEREMBAN – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata ‘Debat Presiden UMNO’ adalah ruang untuk calon mengetengahkan idea mereka dalam menentukan hala tuju UMNO, bukan medan menyerang satu sama lain.
Sehubungan itu katanya semua yang terlibat perlu mengambil sikap positif dan memberi peluang kepada anggota parti untuk menilai calon-calon yang bertanding.
“… kalau kita dapat meyakinkan mereka dalam perbincangan yang bakal diadakan, saya yakin ia akan memberi impak yang positif,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Ketua UMNO Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dihadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr. Awaluddin Said dan ADUN Chembong, Datuk Zaiful Bahri Idris.
Mengulas lanjut, Khairy berkata UMNO memerlukan pemimpin yang dapat memberikan imej baharu kepada parti.
Dua lagi calon presiden iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan wakil rakyat Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dijangka muncul pada program debat tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 9.30 malam, 29 Jun ini.
Sementara itu, Mohamad berkata sekarang adalah masa untuk UMNO menyusun strategi bagi memulihkan parti dan mencari jalan menguatkan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata sekarang juga bukan masa untuk parti komponen BN menuding jari menyalahkan satu sama lain berhubung kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 bulan lepas, sebaliknya menilai parti masing-masing dan mencari jalan membaiki kelemahan.
Persidangan Perwakilan UMNO Rembau menyaksikan Khairy menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan jawatan yang disandang manakala Mohamad yang mempertahankan jawatannya dicabar bekas ADUN Chembong, Datuk Rais Zainuddin.
Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO Rembau, Anggota Jawatankuasanya Nurulhuda Mohd Nor dipilih menggantikan Zuliana Mohd Ridzuan yang telah melebihi had umur manakala Siti Arpah Mohd Dom memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Rembau tanpa bertanding.
Jawatan Ketua Pemuda UMNO Rembau menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Penolong Setiausahanya Suhaimi Aini, Mohd Hanafi Mohd Taib dan Muhamad Khalid Sakimin. – BERNAMA